KPDN teliti cadangan naik harga minyak masak bersubsidi
Perkara itu berikutan harga minyak masak terpakai kini sudah mencecah RM3.80 sekilogram.
KUALA LUMPUR 14 Nov. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang meneliti cadangan untuk menaikkan harga minyak masak peket bersubsidi.
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh, berkata ia berikutan harga minyak masak terpakai kini sudah mencecah RM3.80 sekilogram, sekali gus kemungkinan ketirisan berlaku amat tinggi.
“Harga minyak (peket) bersubsidi RM2.50, sedangkan harga minyak masak terpakai RM3.80 sekilogram. Kemungkinan ketirisan berlaku amat tinggi. Maka, kita sedang kaji berkenaan dengan harga. Kalau kita naikkan harga, (ia) akan mengurangkan subsidi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 bagi KPDN, di Dewan Rakyat, hari ini.
Menyentuh mengenai Kad Diskaun Khas Menu Rahmah pula, Fuziah memaklumkan setakat hari ini, seramai 43 pengusaha sudah memohon kad berkenaan.
“Kad insentif untuk pengusaha Menu Rahmah, setakat 14 November, sebanyak 43 permohonan diterima dan mereka boleh mendapat diskaun beli barang, ada yang hingga 40 peratus dengan rakan strategik,” katanya.
Setakat ini, beliau berkata, terdapat 2,894 pengusaha Menu Rahmah di seluruh negara dan operasinya bertahan sejak ia diperkenalkan.
“Kajian impak sama ada ia mampan, sudah dijalankan. Setakat ini, dalam keadaan kita menangani kos sara hidup, ia adalah satu program yang dinantikan untuk membantu rakyat,” katanya.
Berhubung kempen memboikot jenama produk francais antarabangsa yang dikaitkan dengan sokongan kepada Israel pula, Fuziah berkata, ia adalah keputusan pengguna, biarpun kebanyakannya bawah pemilikan syarikat tempatan.
“KPDN hanya menjadi pendaftar. Bagi pengguna, itu hak mereka. Kalau kerajaan mahu membuat dasar apa pun, pengguna ada pendirian dan pengguna boleh fikir apa yang terbaik. Jenama (francais) antarabangsa ada membayar royalti, tetapi pengguna membuat keputusan untuk menentukan apa mereka mahu buat. Jadi, kita pun tidak boleh membuat keputusan untuk semua orang.
“Sebagai kerajaan, pendirian kita adalah menyokong Palestin tetapi sama ada interpretasi boikot atau tidak, itu terserah kepada individu. Terserah (pengguna) sama ada lebih penting memboikot atau menyelamatkan (nasib pekerja produk francais terbabit). Setakat ini, kementerian tidak membuat apa-apa pendirian,” katanya. — BH