Berita

KPM lancar Cuti-cuti Cikgu bagi guru ‘healing’

Program berkenaan adalah kerjasama antara Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pelancongan, Trevaloka dan juga Air Asia.

KUALA LUMPUR 16 Mei – Bagi menghargai jasa guru yang tidak putus memerah keringat mendidik anak bangsa, Kementerian Pendidikan (KPM) melancarkan program ‘Cuti-cuti Cikgu’ untuk semua warga pendidik itu sempena Hari Guru hari ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata program berkenaan adalah kerjasama antara Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pelancongan, Trevaloka dan juga Air Asia.

Melalui program ini, guru-guru diberikan pakej percutian selepas penat mengajar.

Tinjauan Xklusif di laman sosial mendapati warganet yang juga guru menyambut baik pengumuman yang dilakukan KPM selain menyifatkan keprihatinan kerajaan terhadap tenaga pengajar.

“Alhamdullilah, kerajaan tidak pernah gagal melihat keperluan guru di Malaysia. Pengumuman yang dibuat sedikit sebanyak dapat meringankan beban guru yang seharian bekerja di sekolah,” kata Shima Hassan.

“Terima kasih KPM. Kami warga guru memang memerlukan sedikit ruang untuk bernafas sebab terlalu sibuk di sekolah dengan kerja pentadbiran dan masa sama perlu pastikan anak murid semua dapat tangkap apa yang diajar,” kata Sarah Latif.

“Semoga para guru lebih bersemangat berikan yang terbaik dalam mendidik anak murid. Biarpun banyak yang perlu dikendalikan guru, namun dengan keprihatinan kerajaan beban yang ada dapat dikurangkan,” kata Muhamad Azam Shah.

Boleh la healing dah penat-penat mengajar nanti. Sekarang nak pergi mana-mana pun makan modal. Ada hadiah dari KPM ni dah cukup bagus untuk cikgu dan sekeluarga,” kata Khadijah Ismail.

Semalam Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengumumkan berita baik untuk warga pendidik sempena sambutan Hari Guru, hari ini.

Kata Fadhlina, terdapat beberapa perkara penting yang akan disampaikan bagi menaikkan semangat para guru dan ekosistem pendidikan negara.

“Tidak perlu tunggu Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk umumkan. Menteri Pendidikan sendiri akan umumkan sesuatu, jadi tunggu esok.

“Ada beberapa perkara yang saya fikir penting bagi menaikkan semangat para guru dan keseluruhan ekosistem pendidikan khususnya untuk negara.

Kini pakej “Cuti-cuti Cikgu” menjadi tumpuan para guru di negara ini dari 10 inisiatif yang diumumkan oleh Fadhlina hari ini. – Xklusif 

Artikel Berkaitan

Back to top button