Berita

KPM sasar selesai isu kekurangan guru Mac ini

Isu berkenaan berada pada tahap tidak kritikal di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia berbanding sekolah di Sarawak

NIBONG TEBAL, Feb 7 — Isu kekurangan guru di seluruh negara akan diselesaikan secara berperingkat sebelum sesi persekolahan baharu mulai Mac ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata biarpun isu berkenaan berada pada tahap tidak kritikal di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia berbanding sekolah di Sarawak, ia akan tetap diberi perhatian sewajarnya.

Jelasnya, pihaknya akan cuba mengatasi isu kekurangan guru di negeri yang masih menghadapi masalah itu.

Fadhlina berkata, sebagai permulaan, pihaknya akan menyegerakan pengisian kekurangan guru di Sarawak terlebih dahulu.

“Untuk negeri lain kita lihat juga perkara itu, dan saya fikir dengan adanya persiapan guru kita ini, sebelum buka sekolah Mac ini, Insya-Allah kita akan cuba atasi mana-mana negeri yang ada masalah isu kekurangan guru,” katanya.

Terdahulu, Fadhlina memaklumkan KPM akan cuba mengisi 50 peratus daripada anggaran jumlah 3,000 kekurangan guru di Sarawak menjelang Mac depan.

Katanya usaha itu adalah langkah awal pihaknya bagi menyelesaikan isu kekurangan guru di Sarawak.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa penyelesaian mampu dicapai meskipun dasar nisbah 90:10 guru Sarawak dan guru bukan dari Sarawak masih digunakan di negeri itu.

Artikel Berkaitan

Back to top button