Politik

Kuasa Melayu berisiko hilang, beri kelebihan kepada DAP – Muhyiddin

Melayu akan kehilangan kuasa selama-lamanya sekiranya persempadanan semula kawasan pilihan raya dilaksanakan di bawah Pakatan Harapan (PH)

SHAH ALAM 24 Nov – Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjangkakan Melayu akan kehilangan kuasa selama-lamanya sekiranya persempadanan semula kawasan pilihan raya dilaksanakan di bawah Pakatan Harapan (PH).

Malah beliau menjangkakan DAP selaku satu daripada komponen di bawah Kerajaan Perpaduan diterajui PH akan memiliki kelebihan terutama dalam menambah bilangan kerusi yang dikuasai sekiranya langkah itu dilaksanakan.

“Ahli Parlimen DAP telah bercakap dengan lantang di Dewan Rakyat baru-baru ini tentang perlunya proses persempadanan semula kawasan pilihan raya dilaksanakan, terutamanya untuk menambah kerusi-kerusi Parlimen di kawasan bandar.

“Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ramkarpal Singh) telah mengesahkan bahawa proses persempadanan semula kawasan pilihan raya telah dimulakan bagi negeri Sarawak pada tahun ini, Sabah pada 2025 dan Semenanjung Malaysia pada 2026.

“Saya jangkakan kerusi DAP akan bertambah sekali ganda jika proses persempadanan semula kawasan pilihan raya dilaksanakan oleh kerajaan PH,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU di Ideal Convention Centre (IDCC) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin menjangkakan kerusi dimiliki DAP akan bertambah menjadi 80 berbanding 40 yang dimiliki kini sekiranya persempadanan semula itu berlaku.

“Ini tidak termasuk ‘gerrymandering’ yang akan dibuat di kawasan-kawasan Parlimen sedia ada untuk memberi kelebihan kepada parti DAP dan rakan-rakan sekutunya di dalam PH,” katanya.

Gerrymandering bermaksud persempadanan semula kawasan atau daerah pilihan raya untuk memberi kelebihan kepada satu parti politik dengan cara memecah-belahkan undi kepada parti lain menjadi minoriti di konstituen pilihan raya.

Dalam pada itu, Muhyiddin ketika ucapan sama mendakwa orang Melayu sudah hilang kuasa di tanah air sendiri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kerana UMNO sebagai sebuah parti Melayu yang berada dalam kerajaan tidak mempunyai kuasa.

“UMNO yang hanya mempunyai 26 kerusi Parlimen sekadar menumpang kerajaan diterajui Pakatan Harapan (PH). Tanpa UMNO pun, PH masih boleh memerintah.

“Jadi, walaupun kita berasa bangga dengan pencapaian parti kita dalam pilihan raya umum dan pilihan raya negeri yang lalu, namun hakikatnya orang Melayu telah hilang kuasa,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin menggesa satu usaha digerakkan segera bagi menyatupadukan parti Melayu dengan BERSATU perlu memainkan peranan ke arah itu.

Beliau berkata, ia antara lain bagi menghentikan usaha mana-mana pihak untuk memperjuangkan kesamarataan hak antara semua kaum dan penghapusan dasar pro-Bumiputera.

“Janganlah sengketa sesama kita menyebabkan bumi yang kita pijak ini menjadi milik orang. Masa tidak menyebelahi kita lagi kerana kuasa pun sudah tiada di tangan kita,” katanya. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Back to top button