La Chica Mexican Grill & Bar bawa kelainan menerusi hidangan Mexico
Lokasi Bangsar dipilih menjadi lokasi ke tiga La Chica Mexican Grill & Bar

KUALA LUMPUR 14 Okt. – Semua orang boleh menyediakan dan menghidangkan juadah untuk tetamu tetapi bagaimana kualiti makanan dan cara hidangan itu yang sebenarnya penting.
Perkara itu sentiasa menjadi keutamaan buat Pengasas dan Pengarah Urusan The Olive Tree Group, Leslie Gomez menerusi pembukaan restoran ketiga mereka, LA Chica Mexican Grill & Bar.

Beroperasi di Jalan Bangkung, Bangsar, Leslie berkata, ini adalah cawangan ketiga buat La Chica Mexican Grill & Bar selepas Pulau Pinang dan Jalan Changkat.
Tonton video penuh La Chica Mexican Grill & Bar Di sini
“Pemilihan Bangsar dibuat selepas kita melihat ada kehendak daripada orang ramai yang inginkan sebuah restoran dengan sajian hidangan yang unik.
“Berbeza dengan dengan dua lagi cawangan, di sini kami menyediakan 90 peratus makanan Mexico dan 10 peratus lagi hidangan Sepanyol,” katanya.
Menurut Leslie, semua ramuan yang disediakan juga disediakan secara segar dan boleh ditukar mengikut cita rasa pelanggan.
“Kita sediakan hidangan kita selepas mendapat pesanan daripada pelanggan. Disebabkan itu juga kita boleh mengubah rasa makanan itu mengikut kehendak pelanggan.
“Jika pelanggan itu ingin masakan yang kurang pedas, boleh terus maklumkan dan kita boleh ubah mengikut cita rasa mereka,” katanya.
Beroperasi dari pukul 11.30 pagi sehingga 1 pagi, Leslie berkata, restorannya sentiasa mementingkan dua perkara iaitu kualiti makanan dan layanan.
Jelasnya, dua elemen itu amat penting dan kerana semua restoran boleh menyediakan makanan, tetapi layanan itu berbeza-beza.
“Sebab itu kami pilih pekerja yang bukan sahaja mahir dalam masakan Mexico, tetapi juga cukup profesional dalam memberi layanan untuk memastikan semua pelanggan berpuas hati,” katanya.
Dalam pada itu, Leslie juga berkata mereka sedang dalam perancangan untuk melebarkan lagi cawangan La Chica Mexican Grill & Bar ke Ipoh, Perak dan Sabah serta Sarawak.
“Setakat ini sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan disebabkan itu kita bersedia untuk membuka lagi cawangan lain di dalam negara sebelum ke pasar luar seperti Singapura, Dubai dan Australia,” katanya. — Xklusif