Berita

Lagi 7 atau 8 ahli Parlimen PN sudah hubungi Anwar nyata sokongan

Syed Abu Hussin turut mengesahkan sebahagian daripada mereka telah berhubung dengannya untuk menyatakan sokongan kepada Anwar

PETALING JAYA 11 Dis – Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, mendakwa beberapa lagi Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) bakal menyatakan sokongan mereka kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.

Wakil rakyat daripada BERSATU itu mendakwa, tujuh atau lapan Ahli Parlimen yang akan menyokong Perdana Menteri itu adalah dari beberapa negeri.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti Ahli Parlimen terbabit dan sama ada mereka daripada PAS atau BERSATU.

“Dulu, saya kata ada lima atau enam orang, (namun) sekarang ada tujuh atau lapan orang (bakal menyatakan sokongan kepada Anwar). Nama (mereka), saya tidak boleh maklumkan di sini.

“Tunggu dan lihat… bakal ada pengumuman mereka yang akan menyokong Kerajaan Madani,” katanya pada sidang media di Puchong, hari ini.

Syed Abu Hussin turut mengesahkan sebahagian daripada mereka telah berhubung dengannya untuk menyatakan sokongan kepada Anwar.

“Ada yang berhubung dengan saya, ada yang berhubung dengan orang lain,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menafikan tindakannya mengisytiharkan sokongan kepada Anwar pada akhir bulan lalu, disebabkan pujukan oleh mana-mana individu.

“Saya sebenarnya tidak dipujuk oleh sesiapa dan tidak ditawarkan apa-apa… disebabkan saya faham apa yang patut saya buat.

“Kalau saya tidak sokong pun, ada peruntukan bagi kawasan saya… tetapi saya hendak lebih efektif. Saya hendak boleh bercakap secara terus-terang dengan semua pemimpin kementerian untuk membantu kawasan saya.

“Jadi, tidak ada pujuk-memujuk. Sebab itu saya membuat (pengumuman sokongan) secara terbuka. Yang sebelum ini, dibuat secara tertutup, tandatangani SD (akuan bersumpah). Saya tidak ada tandatangani SD,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya bersedia berdepan sebarang tindakan BERSATU susulan menyatakan sokongan kepada kepimpinan Anwar.

Syed Abu Hussin mendakwa, beliau tidak melanggar peraturan BERSATU kerana perlembagaan parti tidak melarang sesiapa memberi sokongan kepada mana-mana pihak.

“Apa yang saya buat ini tidak melanggar perlembagaan parti. Kalau parti hendak mengambil tindakan, dia akan bawa ke Jawatankuasa Disiplin.

“Jawatankuasa Disiplin akan memutuskan apa bentuk tindakan disiplin yang boleh diambil… (dan) saya bersedia,” katanya.

Selain Syed Abu Hussin, empat lagi Ahli Parlimen daripada BERSATU telah mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Anwar, iaitu Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), serta Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan). – Berita Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button