Lagu Negaraku: irama dua lagu diangkat jadi lagu kebangsaan
Negaraku diilhamkan dari irama dua buah lagu.

KUALA LUMPUR 31 Ogos – Negaraku, lagu kebangsaan rakyat Malaysia. Tahukah anda bagaimana lagu ini tercipta? Lagu ini sebenarnya diilhamkan daripada irama lagu negeri Perak yang judul asalnya ialah ‘Allah Lanjutkan Usia Sultan’. Dan lagu itu juga sebenarnya berasal dari tempat lain pula.
Sewaktu Sultan Abdullah (Sultan Perak) menjalani hukuman dibuang negeri ke Kepulauan Seychelles kerana didakwa bersubahat dalam pembunuhan Residen British, JWW Birch, baginda amat suka mendengar lagu berjudul ‘Terang Bulan’ yang digubah oleh Pierre Jean de Beranger, seorang penggubah Perancis.
Apabila baginda selesai menjalani hukuman, Sultan Abdullah kembali ke tanah air dan membawa lagu tersebut yang kemudian diberi senikata baru dengan judul baru iaitu ‘Allah Lanjutkan Usia Sultan’ lalu dijadikan sebagai lagu rasmi negeri Perak.
Sewaktu negara berada di ambang kemerdekaan pada tahun 1956, semua negeri di Tanah Melayu sudah mempunyai lagi mereka sendiri. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ketika itu mahu agar ada sebuah lagu khas dicipta sewaktu negara sedang bersiap sedia untuk menyambut kemerdekaan.
Untuk itu, Tunku Abdul Rahman telah membuat pertandingan mencipta lagu kebangsaan dan ia tidak terhad kepada penduduk tempatan sahaja, bahkan penyertaan turut diterima dari serata dunia.
Dikatakan, sebanyak 514 lagu telah diterima. Namun, jawatankuasa khas untuk pemilihan lagu ini yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman berpendapat tiada satu pun lagu-lagu dari penyertaan itu sesuai dijadikan lagu kebangsaan.
Beberapa orang penggubah lagu yang hebat dan bertaraf antarabangsa juga diminta untuk mencipta lagu kebangsaan. Masih sama, jawatankuasa pemilihan lagu masih merasakan lagu ciptaan mereka tidak sesuai dijadikan lagu kebangsaan.
Jawatankuasa kemudian menimbangkan semula untuk mendengar lagu-lagu kebesaran negeri-negeri Tanah Melayu ketika itu. Dan Tunku Abdul Rahman mencadangkan agar lagu kebangsaan negeri Perak berjudul ‘Allah Lanjutkan Usia Sultan’ dipilih sebagai asas kepada lagu kebangsaan.
Lagu itu digubah semula tajuk dan senikatanya. Hadiah sebanyak seribu ringgit ditawarkan kepada penggubah untuk mencipta seni kata lagu kebangsaan dan ia telah dimenangi oleh Encik Saiful Bahri bin Elyas.

Diberi judul NEGARAKU, skor lagu itu disediakan oleh Alfonso Soliano (Pemimpin Orkestra Radio Malaya), D.S.P Croff (Pengarah Muzik, Pancaragam Polis Diraja), Kapten Lenthall (Pengarah Muzik, Pancaragam Askar Melayu, Port Dickson) dan A.T Reed (Ketua Pengarah Radio Malaya).
Akhirnya, lagu NEGARAKU diangkat sebagai lagu kebangsaan dan telah diperdengarkan buat pertama kalinya kepada rakyat pada detik 12.00 malam di ambang merdeka 31 Ogos 1957, di Padang Kelab Selangor. Bermula dari detik tersebut, Negaraku kekal menjadi lagu rasmi Malaysia. — UtusanTV