Langgar lari: Pegawai polis didakwa bunuh remaja
Mohd Nazri Abdul Razak, 44, didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie di Jalan Taman Jati 1, dekat Sekolah Menengah Kebangsaan Jati, Meru antara 12.05 hingga 12.40 tengah hari 15 Dis lalu

IPOH 18 Dis – Seorang pegawai polis berpangkat Deputi Superintendan didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh seorang pelajar 17 tahun dalam kes langgar lari minggu lalu.
Mohd Nazri Abdul Razak, 44, didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie di Jalan Taman Jati 1, dekat Sekolah Menengah Kebangsaan Jati, Meru antara 12.05 hingga 12.40 tengah hari 15 Dis lalu.
Tiada pengakuan direkodkan di depan Majistret S Punitha kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Nazri didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati atau dipenjara 30 hingga 40 tahun dan sekurang-kurangnya 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Dia kelihatan tenang sebaik pertuduhan dibacakan. Tiada ahli keluarganya dilihat hadir di mahkamah.
Abang mangsa, Zarul Fitri, 29, bagaimanapun tidak dapat menahan sebak ketika pertuduhan dibacakan terhadap tertuduh.
Pertuduhan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Azlina Rasdi, Khairul Azreem Mamat, Wan Azimah Yaacob, Afzainizam Abdul Aziz, Saiful Akmal Mod Said, Nasrul Hadi Abdul Ghani, J Geetha dan Low Qin Hui, manakala tertuduh diwakili peguam Jacky Loi Yap Loong.
Mahkamah menetapkan 7 Feb depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.
Dalam kejadian Jumaat lalu, Zaharif maut selepas dipercayai diseret lebih 5km oleh kereta yang melanggarnya, ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah ke rumahnya di Chemor.
Bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun mendapati punca kematian disebabkan kecederaan di bahagian dada dan abdomen.
Susulan itu, seorang pegawai polis ditahan pada hari sama. – Xklusif