Berita

Langgar mati pelajar: Polis mohon serah bukti rakaman dashcam jika ada

Setakat ini tiada lagi bukti rakaman dashcam diterima

IPOH 17 Dis – Polis harap mana-mana individu mempunyai bukti seperti rakaman papan pemuka (dashcam) kenderaan atau kamera litar tertutup (CCTV), berhubung kes pelajar maut selepas dilanggar kenderaan disyaki dipandu seorang pegawai kanan polis Jumaat lalu, tampil membantu siasatan.

“Kita masih menunggu…yang ada ‘dashcam’, CCTV atau lain-lain, siapa yang ada itu (bahan bukti) kita akan terima. Setakat ini belum lagi,” kata Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri ketika dihubungi.

Beliau berkata, esok tempoh tahanan reman pegawai berkenaan akan tamat, namun masih belum dapat disahkan sekiranya tempoh reman akan disambung atau sebaliknya.

“Biarkan polis siasat dengan telus dan adil seperti arahan KPN (ketua polis negara), dan juga kita minta saksi-saksi di luar sana yang boleh membantu siasatan untuk tampil, hubungi polis atau pegawai penyiasat untuk beri keterangan,” katanya.

Dua hari lalu, tular di media sosial seorang pelajar lelaki maut selepas motosikal dinaiki dilanggar dan diseret sebuah kereta di Jalan Taman Jati berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati dekat Meru, dipercayai dipandu oleh seorang pegawai kanan polis berusia 44 tahun. – Bernama

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button