Berita

Lans Koperal Muhammad Alif didakwa bunuh Nur Farah Kartini

Seorang anggota polis didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh Nur Farah Kartini Abdullah yang mayatnya ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit.

Lans Koperal Muhammad Alif Monjani, 26, didakwa membunuh Nur Farah Kartini, yang merupakan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Bernam di sini antara 10 Julai hingga 15 Julai lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Kes itu disebut di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.

Terdahulu suspek menaiki kenderaan pacuan empat roda, dilihat tiba di pekarangan kompleks mahkamah pada jam 9.04 pagi dengan tangan bergari dan berpakaian baju T serta seluar hitam, sambil dikawal rapi oleh anggota polis.

Masing-masing seorang wakil daripada keluarga mangsa dan keluarga tertuduh juga dilihat memasuki kamar mahkamah sejurus suspek dibawa masuk. Kes didengar di hadapan hakim dan galeri awam penuh dengan pengamal media yang membuat liputan.

Artikel Berkaitan

Back to top button