Berita

Lantang bersuara kritik sistem pendidikan, Cikgu Fadli bersara awal

Pengumuman persaraan itu dibuat menerusi akaun Facebook rasminya.

KUALA LUMPUR 7 Feb. – Guru tular yang banyak mengkritik sistem pendidikan negara ke arah kebaikan bersama, Mohd Fadli Mohamed Salleh hari ini bersara awal.

Pengumuman bersara itu diumumkan di Facebook rasminya hari ini, berserta gambar sambutan majlis persaraannya di Sekolah Kebangsaan (1) Gombak.

“Dan akhirnya, tarikh ini tiba jua. Izinkan daku mengundur diri. Terima kasih dan maaf atas segalanya,” katanya.

Dalam muat naik yang sama, Mohd Fadli yang juga aktivis masyarakat turut menyatakan, khidmat 18 tahun sebagai seorang guru pada 3 Januari 2006 bernoktah pada bulan ini.

“3 Januari 2006. Melapor diri di SK Mambang, Pekan, Pahang. Disember 2009, melapor diri di SK Taman Melawati 2. Oktober 2016 – Februari 2023, SK 1 Gombak pula terima diri ini.

“Banyak sebenarnya ingin ditulis, tapi aku tak tahu di mana perlu bermula. Ah, biarlah aku pendam sahaja segalanya.

“Setiap yang bermula pasti berakhir jua. Terima kasih semua atas memori indah sepanjang kita bersama. Kalian sentiada ada dalam setiap sujud dan doa. Izinkan daku mengundur diri,” katanya.

BH turut menghubungi Mohd Fadli sehingga malam ini, tetapi beliau masih belum menjawab.

Dikenali sebagai Cikgu Fadli, beliau ialah antara pendidik kerajaan yang lantang bersuara sekiranya mendapati terdapat kepincangan yang menyukarkan pembelajaran sekolah, malah beliau juga terkenal sebagai seorang aktivis masyarakat yang banyak menghulurkan bantuan kepada murid miskin dan rakyat dalam kesusahan.

Pada 2022, guru ini pernah dihadapkan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan susulan pendedahan mengenai kepincangan silibus pendidikan negara.

Bagaimanapun, beliau didapati tidak bersalah dan tidak akan dikenakan sebarang tindakan tatatertib oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Sebelum itu, tular kisah Mohd Fadli yang dikatakan bakal dikenakan tindakan termasuk dibuang kerja atau diturunkan pangkat kerana mengkritik sistem pendidikan negara, dengan membantah silibus subjek Matematik bagi murid sekolah rendah, yang disifatkan terlalu tinggi dan tidak padan dengan keupayaan pelajar.

Isu berkenaan turut mendapat perhatian Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kanan Pendidikan terdahulu, Datuk Dr Radzi Jidin.

Sebelum itu juga, beliau kerap menyuarakan kebimbangan mengenai berat beg sekolah yang terpaksa ditanggung murid, akibat kepadatan jadual pembelajaran.

Sementara itu dalam hantaran terbaharu, Cikgu Fadli berkata, beliau bersara awal bukan kerana kecewa dengan Kementerian Pendidikan, sebaliknya mahu mengelakkan isu lain pada masa hadapan.

“Saya terlalu sayangkan KPM dan dunia pendidikan. Cuma adab Melayu, bila bertandang ke rumah orang, tidak molek kita membuat onar sesuka hati.

“Saya tak mahu jadi tetamu yang biadab terhadap tuan rumah yang baik hati. Kerana kasih dan menghormati tuan rumah saya undur diri,” katanya yang mengakui akan terus berada dalam bidang pendidikan dan akan kekal bersuara. — Berita Harian

Artikel Berkaitan

Back to top button