Lapan kedai jual makanan di Tumpat diarah tutup 14 hari
Perkara itu kerana kedai itu tidak mencapai tahap kebersihan yang ditetapkan.
KUALA LUMPUR 18 Jan. – Lapan premis menjual makanan di Tumpat diarahkan tutup selama 14 hari kerana didapati tidak mencapai tahap kebersihan yang ditetapkan.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Dr Zaini Hussin, berkata arahan penutupan itu dikeluarkan bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.
“Dalam Operasi Bersepadu Premis Bersih yang dijalankan di sekitar Tumpat semalam, pihak JKNK telah memeriksa 59 premis makanan melibatkan kedai makan, restoran dan kilang makanan.
“Sebanyak 99 Notis Seksyen 32B, Memerintahkan Kehadiran di Mahkamah telah dikeluarkan oleh JKNK kepada pemilik premis dan pengendali makanan atas pelbagai kesalahan yang melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009,” katanya dalam kenyataan.
Zaini berkata, 99 notis Seksyen 32B yang dikeluarkan adalah melibatkan kesalahan tidak mempamerkan Perakuan Pendaftaran di premis makanan, tidak mematuhi kehendak berhubungan dengan tugas am tuan punya, pemilik atau penghuni premis makanan dan berkaitan pakaian pengendali makanan.
“Kesalahan lain pula adalah berhubungan dengan kebersihan pengendali makanan dan kewajipan untuk mengekalkan premis dalam keadaan bersih.
“Semua notis seksyen 32B, boleh dibayar kompaun dalam tempoh masa sebulan dari tarikh notis dikeluarkan,” katanya.
Zaini menegaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab pemilik dan pengendali premis makanan untuk memastikan premis mereka bersih pada setiap masa.
Katanya, pemilik premis makanan yang didapati tidak mematuhi elemen-elemen penting kebersihan akan diberi bimbingan untuk mengambil tindakan pembetulan bagi meningkatkan tahap kebersihan premis mereka dan jika masih ingkar, boleh dikenakan arahan penutupan di bawah akta berkaitan. — FMT