Berita

Lawatan balas Menteri Pertahanan Turkiye kukuhkan hubungan pertahanan Malaysia-Turkiye

Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Khaled Nordin, hari ini menerima lawatan kerja Menteri Pertahanan Negara Republik Turkiye, Tuan Yang Terutama (TYT) Yasar Guler. Lawatan ini merupakan lawatan balas setelah lawatan rasmi pertama Menteri Pertahanan Malaysia ke Ankara pada 11 Jun 2024.

Tujuan lawatan adalah untuk memperkukuhkan lagi hubungan pertahanan yang telah lama terjalin sejak tertubuhnya kerjasama pertahanan dua hala antara Malaysia dan Turkiye sejak tahun 1985. Kedua-dua pemimpin berbincang serta memfokuskan kepada kerjasama pertahanan yang produktif dan mengesahkan komitmen dalam kerjasama ketenteraan melibatkan kedua-dua negara, terutamanya dalam bidang sains, teknologi dan industri pertahanan.

Kunjungan hormat ini juga telah mencapai beberapa persetujuan penting antaranya mengukuhkan dan memperluaskan kerjasama pertahanan dua hala melalui Memorandum Persefahaman (MoU) baharu dalam Kerjasama Pertahanan, yang akan bertindak sebagai penaung bagi memudahkan kedua-dua kementerian dan angkatan tentera dalam pelbagai konteks kerjasama. Kedua-dua pemimpin bersetuju untuk mempercepatkan ketetapan MoU baharu menjelang akhir 2024.

Kedua-dua negara meneroka peluang baharu untuk bekerjasama dalam tahap kebolehoperasian dan ketersediaan kedua-dua angkatan tentera dalam semua domain, iaitu darat, laut, udara, siber, AI dan perkongsian risikan.

Menteri Pertahanan turut mengiringi Menteri Pertahanan Turkiye ke Kompleks Seri Perdana, Putrajaya untuk kunjungan hormat ke atas YAB Perdana Menteri Malaysia. Semasa kunjungan itu, Malaysia dan Turkiye bertukar-tukar pandangan mengenai hubungan pertahanan dua hala serta isu-isu semasa, terutamanya konflik yang berterusan di Timur Tengah dan isu geopolitik sejagat.

Lawatan rasmi Menteri Pertahanan Turkiye ini mencerminkan ikatan pertahanan dua hala yang kukuh antara kedua-dua negara, sejajar dengan Perkongsian Berwibawa yang ditakrifkan oleh Tonggak Ketiga Strategi Pertahanan Negara dalam Kertas Putih Pertahanan Malaysia (DWP).

Artikel Berkaitan

Back to top button