Ekonomi

Lawatan Perdana Menteri ke Rusia mengorak kerjasama dalam aeroangkasa, industri halal, perbankan Islam

Malaysia dan Rusia bakal mengorak kerjasama dalam bidang baru seperti aeroangkasa dan teknologi lanjutan.

Ini susulan kunjungan sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu bermula 4 September ketika Presiden Rusia Vladimir Putin terus menjadi ‘buruan’ Barat terutamanya Amerika Syarikat (AS) sejak Perang Dingin memuncak pada 1960-an.

Anwar yang juga Menteri Kewangan memenuhi undangan menghadiri Forum Ekonomi Timur Kesembilan di sini, turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan Putin bagi membincangkan kerjasama itu, selain bertukar-tukar pandangan mengenai konflik Rusia-Ukraine dan ketegangan di Timur Tengah.

Menurut Kementerian Luar, pertemuan itu memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk menilai dan membincangkan hubungan dua hala.

Ini termasuk perdagangan dan pelaburan, pendidikan tinggi, teknikal dan vokasional pendidikan dan latihan (TVET), pertanian dan keterjaminan makanan serta pelancongan.

“Kunjungan ke Rusia kali ini ternyata mengujakan tatkala terpacul pelbagai peluang nyata yang mampu dimanfaatkan demi kebaikan dan kesejahteraan ummah,” menurut perkongsian Anwar di Facebook.

Sejurus tiba di Vladivostok pada Rabu, Anwar menerima kunjungan hormat Ketua Republik Wilayah Tatarstan, Rusia, Rustam Minnikhanov.

Mereka membincangkan pelbagai isu termasuk kerjasama ekonomi dengan pelabur dari Tatarstan dan Mesyuarat Kumpulan Visi Strategik Dunia Rusia-Islam.

“Saya mengambil peluang menerangkan hala tuju Malaysia dalam beberapa bidang strategik berdasarkan dasar yang digariskan di bawah Ekonomi Madani termasuk bidang transformasi digital, peralihan tenaga, pelancongan dan keterjaminan makanan,” katanya.

Anwar kemudian bertemu Timbalan Utama Pengerusi Majlis Mufti Persekutuan Russia, Encik Rushan Hazrat Abbyasov, dan menyentuh beberapa rancangan yang perlu direncana dan diusahakan bagi mengerat hubungan dengan negara yang mempunyai 25 juta warga Muslim itu.

“Lantaran itu, ini mesti menjadi alasan yang kukuh betapa hubungan lebih erat perlu direncana dan diusahakan.

“Kami menyentuh mengenai sistem perbankan Islam, latihan serta pembangunan keupayaan selain pertukaran kepakaran dan kerjasama pelbagai institusi di Malaysia yakni Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Muzium Kesenian Islam, Bank Negara Malaysia dan lainnya.

“Industri halal yang terus berkembang lantas meletakkan Malaysia di kedudukan terbaik dalam memenuhi minat mendalam Rusia dalam sektor ini.

“Nilai yang dikongsi secara bersama ini akan pastinya memanfaatkan, tidak hanya warga Muslim, malah negara secara keseluruhannya,” katanya.

Anwar menyampaikan ucapan di Sesi Plenari EEF Kesembilan yang akan dihadiri oleh tetamu khas seramai 6,000 orang terdiri daripada kehormat asing dan tempatan, penggubal dasar, ahli akademik serta peneraju industri.

EEF dengan tema, ‘Combining Strength to Create New Potential’ (Menyatukan Kekuatan Mencipta Potensi Baru) ialah forum ekonomi tahunan yang diadakan sejak 2015 di rantau Timur Jauh Rusia bagi menggalakkan pelaburan dan pembangunan ekonomi serta kerjasama antarabangsa di rantau berkenaan.

Anwar dan Putin membincangkan kerjasama dalam ruang lingkup hubungan Rakan Dialog ASEAN-Rusia, selain menyampaikan hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS kepada Putin, yang kini memegang jawatan Pengerusi BRICS bagi 2024.

Kumpulan BRICS terdiri dari Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan serta beberapa negara lain.

Pada 2023, Rusia adalah rakan dagangan kelapan terbesar bagi Malaysia dalam kalangan negara Eropah dengan jumlah dagangan dua hala meningkat 15.6 peratus kepada RM14.22 bilion ($4.25 bilion), berbanding RM12.3 bilion yang dicatatkan pada 2022.

Artikel Berkaitan

Back to top button