Berita

Lebih 1,000 banjiri himpunan ‘Selamatkan Tanah Air Kita, Suara Rakyat Ke Istana Negara’, Tun M hadir tanda sokongan

Himpunan yang dianjurkan sekretariat Pembela Tanah Air (PETA), mewakili tiga wakil gabungan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyerahkan memorandum

KUALA LUMPUR 23 Jan – Lebih 1,000 orang berhimpun di hadapan pintu dua Istana Negara, di sini, bagi membawa suara rakyat dalam himpunan Selamatkan Tanah Air Kita Suara Rakyat Ke Istana Negara, di sini, hari ini.

Himpunan yang dianjurkan sekretariat Pembela Tanah Air (PETA), mewakili tiga wakil gabungan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyerahkan memorandum yang dipercayai mengandungi pelbagai tuntutan membabitkan isu semasa negara ketika ini.

Orang ramai mula berkumpul di hadapan pintu dua Istana Negara sejak jam 9 pagi tadi dan turut dihadiri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai tanda sokongan.

“Saya hadir pasal saya juga rakyat Malaysia dan ini adalah gerakan rakyat jadi saya bersimpati dengan mereka”.

Menurut Dr Mahathir, rakyat kini ramai yang sengsara, hinggakan ada yang membunuh diri kerana desakan hidup.

“Apa yang disebutkan tadi, sampai orang Melayu bunuh diri, tidak pernah jadi 17 orang Melayu bunuh diri, ada yang bunuh emak, bunuh ibu bapa kerana mereka hilang punca, tertekan amat sangat sebab itu saya datang sini, tunjuk solidariti saya dengan rakyat,” katanya.

Difahamkan, empat individu menyampaikan memorandum terbabit ke kawasan istana sebelum diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Tinjauan mendapati perhimpunan dilakukan dalam keadaan terkawal dengan pemantauan pihak polis yang turut menjaga pintu masuk jalan ke pintu dua Istana Negara.

Orang ramai juga melaungkan takbir sambil mengangkat sepanduk membawa mesej ‘Rakyat Bersama Hemat Yang Di-Pertuan Agong’.

Peserta himpunan kemudian dilihat beredar dari lokasi pada kira-kira jam 11.30 pagi tadi. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button