Lebih 110,000 kanak-kanak di Selangor bantut, ini penjelasan pakar
Daripada data itu, Selangor mencatatkan populasi bantut tertinggi dengan 110,480 orang, diikuti Sabah dan Labuan (69,627); Johor (48,725) dan Kedah (41,168)
KUALA LUMPUR 16 Jan – Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 melaporkan anggaran penduduk bantut bawah usia lima tahun adalah 498,327 orang atau 21.2 peratus bersamaan satu dalam lima kanak-kanak mengalami masalah ketinggian.
Daripada data itu, Selangor mencatatkan populasi bantut tertinggi dengan 110,480 orang, diikuti Sabah dan Labuan (69,627); Johor (48,725) dan Kedah (41,168).
Kenapa terjadinya kes kanak-kanak bantut, tidak mencapai ketinggian yang sepatutnya?
Banyak kajian membuktikan sikap tidak endah ibu bapa menyebabkan isu bantut semakin meruncing sehingga trend hari ini menunjukkan ramai kanak-kanak tergolong dalam kumpulan menghadapi masalah ketinggian.
Bagi pakar Perunding Pediatrik Endokrinologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof Madya Dr Azriyanti Anuar Zaini, sebahagian besarnya ia berpunca keyakinan ibu bapa bahawa anak mereka akan tinggi kelak, selain menganggap isu ketinggian bukan satu masalah kritikal berikutan fizikal mereka sendiri rendah.
“Sikap ‘tidak apa, saya sendiri bukan tinggi sangat’ membuatkan ramai tidak sedar perkembangan anak mereka tidak selari dengan usia hinggakan Hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 mendedahkan kelaziman yang jauh lebih tinggi, berbanding kajian pada 2015 dan 2019.
“Kita mahu generasi masa hadapan lebih tinggi dari sekarang dan bukan semakin pendek.
“Ketinggian melambangkan status kesihatan seseorang, seterusnya status kesihatan negara secara umum,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Azriyanti berkata, penduduk negara yang mengalami bantut dianggap tidak mempunyai kemudahan kesihatan yang baik, makanan tidak sihat dan persekitaran tidak memberangsangkan, sekali gus menjejaskan imej Malaysia sebagai negara sedang pesat membangun.
“Peningkatan prevalen kebantutan semakin merisaukan berbanding data 2019 dan 2015, membuktikan isu ini memang masalah serius.
“Seperti dilaporkan, data NHMS 2022 menunjukkan satu dalam lima kanak-kanak bawah usia lima tahun mengalami kebantutan.
“Peningkatan kadar bantut ini jelas menunjukkan isu ini walaupun sudah dimaklumkan dalam data negara, masih belum ditangani secara menyeluruh,” katanya.
Katanya, Kementerian Kesihatan dan hospital universiti (di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi) banyak melakukan program kesedaran masalah bantut dalam kalangan petugas kesihatan dan juga kempen kesedaran terhadap orang awam, terutama ibu bapa.
“Antara kempen yang dianjurkan termasuk aktiviti oleh Persatuan Pediatrik Malaysia bertujuan melatih dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan isu tumbesaran untuk dikenal pasti lebih awal oleh doktor.
“Selain itu, banyak maklumat sudah diuar-uarkan melalui media oleh doktor bertauliah, namun malang masih ramai ibu bapa tidak faham dan tidak membawa anak berjumpa doktor lebih awal,” katanya.
Disebabkan isu bantut semakin serius, beliau mengatakan jika masalah itu jika tidak dirawat atau dipantau segera boleh menyebabkan kanak-kanak terus terbantut sehingga usia remaja dan dewasa.
Kurang nutrisi makanan punca budak jadi bantut
“Kebanyakan masalah terbantut dalam kalangan kanak-kanak, terutama bawah umur lima tahun disebabkan oleh kekurangan nutrisi dan zat.
“Isu ini juga sangat berkait rapat dengan masalah tingkah laku dalam kalangan kanak-kanak ini seperti ‘isu picky eater’ atau masalah autisme,” katanya.
Selain itu, beliau menjelaskan, kemahiran keibubapaan penting dalam menangani masalah pemakanan tidak sihat dan tingkah laku kanak-kanak itu terhadap pemakanan.
“Tidak dinafikan keadaan ibu bapa yang bekerja sepenuh masa antara faktor kanak-kanak tidak mendapat nutrisi sebaiknya, tetapi ramai juga kanak-kanak yang ibu bapa tidak bekerja mengalami masalah sama.
“Isu lebih penting di sini ialah pemahaman ibu bapa terhadap jenis makanan yang sesuai untuk diberikan kepada kanak-kanak sedang membesar,” katanya.
Katanya, kajian Prof Grasgruber pada 2020 hingga 2022 membuktikan penduduk negara yang makan banyak protein haiwan seperti daging, ikan, ayam lebih tinggi daripada penduduk negara yang makanan rujinya berasaskan beras dan gandum.
Di Malaysia, kanak-kanak lebih banyak memakan nasi dan mi, berbanding protein haiwan.
“Pengambilan susu juga sangat kurang seperti dilaporkan dalam NHMS 2017, iaitu 75 peratus atau tiga dalam empat remaja tidak minum susu atau produk tenusu dengan mencukupi.
“Selain itu, faktor cukup tidur sering kali tidak diendahkan. Kanak-kanak perlu cukup tidur di antara sembilan hingga 11 jam sehari (bergantung usia) untuk memastikan hormon tumbesaran dirembeskan secukupnya oleh badan ketika tidur nyenyak.
“Selain itu, aktiviti senaman bergraviti seperti berlari, berjalan, lompat tali serta badminton juga penting untuk stimulasi dan rangsangan di bahagian tulang,” katanya.
Ditanya cabaran dihadapi kanak-kanak tergolong dalam generasi bantut itu, beliau menjelaskan, kanak-kanak dan remaja yang mengalami masalah bantut sangat terkesan emosi dan psikologi.
“Isu buli, tekanan rakan sebaya, perasan rendah diri boleh mendatangkan masalah psikologi seperti kemurungan serta bantut dalam kalangan dewasa boleh menyebabkan masalah memandu, melahirkan anak serta sukar mendapat pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata, secara amnya, bantut dan kurang nutrisi memang sangat merunsingkan.
Katanya, kajian Prof Lee WS pada tahun lalu menunjukkan isu terbantut setinggi 16 hingga 20 peratus seperti dilaporkan NHMS sebelum ini.
“Kajian ini dilakukan di klinik seluruh Malaysia. Selain itu, isu bantut dan kekurangan zat dalam kalangan kanak-kanak di kawasan perumahan program perumahan rakyat termiskin (PPRT) sangat tinggi dan membimbangkan.
“Jadi, ibu bapa perlu segera membawa anak berjumpa doktor jika anak terlalu pendek dibandingkan dengan adik beradik (pada umur sama) dan rakan sekolah.
“Sekiranya tidak pasti, jumpa doktor pakar seperti pakar pediatrik atau pediatrik endokrinologi kerana walaupun ibu bapa rendah, anak tidak semestinya terbantut. Buang sikap tidak mengapa dan lebih prihatin dengan masalah tumbesaran anak-anak,” katanya. – Berita Harian