Berita

Lebih 37,000 saman dikeluarkan di bawah Akta Kawalan Tembakau.

Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan sebanyak 37,381 notis atas kesalahan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) sejak penguatkuasaannya bermula pada 1 Oktober 2024 hingga 31 Mac.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr Norhayati Rusli, berkata notis-notis tersebut dikeluarkan hasil daripada 10,212 operasi yang dijalankan di seluruh negara.

Beliau berkata sebanyak 116 kes telah dibawa ke mahkamah atas kesalahan di bawah Seksyen 7(1) (larangan pengiklanan produk tembakau), Seksyen 9(1) (larangan promosi atau tajaan produk tembakau), Seksyen 10(1) (larangan penjualan produk tembakau), Seksyen 11(1) (larangan penjualan produk tembakau tiruan), dan Seksyen 12(1) (larangan pemberian produk tembakau sebagai hadiah).

Kementerian Kesihatan turut merampas sebanyak 11,563 produk merokok yang dianggarkan bernilai RM266,833.10.

“Sebelum ini, kementerian telah melaksanakan penguatkuasaan berbentuk pendidikan yang melibatkan 206,657 individu yang terlibat dalam penjualan rokok, bagi memastikan mereka memahami dan mematuhi peruntukan di bawah Akta 852,” katanya semasa pelancaran operasi penguatkuasaan di bawah Op Cakna Penguatkuasaan Undang-Undang Kesihatan Awam Siri 2/2025 di sini semalam.

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Kasemani Embong.

Norhayati berkata Kementerian Kesihatan memandang serius kesalahan berkaitan merokok di kawasan larangan merokok yang telah diwartakan dan akan mempertingkatkan operasi penguatkuasaan di seluruh negara tahun ini.

Artikel Berkaitan

Back to top button