Berita

Lebih 9,000 berjaya kurus, 4,846 berhenti rokok dalam program intervensi KKM

Penyebaran literasi kesihatan dan kesedaran yang dilaksanakan termasuk Program HePiLI (Health Promotion in Learning Institutions) iaitu promosi dan pendidikan kesihatan kepada golongan sasar seawal peringkat prasekolah

KUALA LUMPUR 6 Dis – Program Pengurusan Berat Badan IFitEr (I Fit and Eat Right) melalui inisiatif intervensi kesihatan yang dilaksanakan di 30 hab kesihatan atau wellness hub di seluruh negara, merekodkan seramai 9,031 klien berjaya menurunkan berat badan, setakat ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, berkata di bawah inisiatif itu juga intervensi perkhidmatan berhenti merokok turut merekodkan sejumlah 4,846 klien berjaya berhenti merokok.

“Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Agenda Nasional Malaysia Sihat sentiasa proaktif untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu kesihatan termasuk penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti tekanan darah tinggi, kencing manis dan kolesterol tinggi.

“Di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Fasa 1 (2020-2022), penyebaran literasi kesihatan dan kesedaran mengenai kepentingan pemeriksaan kesihatan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Prof Tan Sri Mohamed Haniffa Abdullah mengenai langkah diambil kementerian untuk meningkatkan kesedaran pemeriksaan kesihatan dan penyebaran literasi kesihatan memandangkan penyakit tidak berjangkit akibat budaya tidak sihat membawa kadar kematian sebanyak 73 peratus di negara ini.

Lukanisman berkata, penyebaran literasi kesihatan dan kesedaran yang dilaksanakan termasuk Program HePiLI (Health Promotion in Learning Institutions) iaitu promosi dan pendidikan kesihatan kepada golongan sasar seawal peringkat prasekolah.

“Selain itu, kita juga mengadakan program Pemerkasaan Kesihatan dalam Komuniti melalui wellness hub dan Ejen Kesihatan Komuniti (MyChampion) yang terdiri daripada sukarelawan COMBI, KOSPEN, Ikon Gigi, Duta Kenali Ubat, Wakil Kesihatan Kampung dan ahli Panel Penasihat dan Program Temu Seru (Outreach) melalui Wellness on Wheel (WOW) yang meliputi 623 lokaliti komuniti di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Lukanisman berkata inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) turut dilaksanakan KKM bermula Julai 2022 di seluruh negara bagi kumpulan sasar 18 tahun ke atas dan dilaksanakan secara dalam talian yang merekodkan sebanyak 1.38 juta individu disaring pada tahun ini. – BERNAMA

Artikel Berkaitan

Back to top button