Berita

Lebih baik sedia penerbangan percuma dari bina semula HSR – Tony Pua

Kerajaan mampu berbuat demikian berbanding melaksanakan semula projek mega yang dianggar membabitkan kos kira-kira RM80 bilion

KUALA LUMPUR 22 Dis – Bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua mencadangkan kerajaan menyediakan penerbangan percuma kepada rakyat Malaysia ke Singapura, berbanding melaksanakan semula projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) menghubungkan dua negara yang didakwa tidak mempunyai nilai kewangan kepada negara.

Beliau berkata, kerajaan mampu berbuat demikian berbanding melaksanakan semula projek mega yang dianggar membabitkan kos kira-kira RM80 bilion termasuk untuk pengambilan tanah, namun belum lagi dikira nilai faedah.

“Jadi (penerbangan) KL-Singapura Changi adalah laluan udara paling sibuk di dunia. Ia membabitkan 4.9 juta tempat duduk. Mengandaikan lebih kurang RM400 (nilai) bagi satu kerusi, ia akan membabitkan kurang RM2 bilion nilai tiket penerbangan setahun.

“Ramai mendesak (kerajaan) memulakan semula projek HSR antara Kuala Lumpur dan Singapura sebagai alternatif (pengangkutan).

“Jika kerajaan akan membiayainya (HSR), kali terakhir saya semak (kira-kira) RM80 bilion termasuk kos pengambilan tanah dan lain-lain…. namun ia belum termasuk nilai faedah,” katanya melalui muat naik di Facebook.

Mengulas lanjut, Pua berkata, dengan kadar faedah lima peratus, kerajaan akan menanggung sejumlah RM4 bilion hanya dalam bentuk faedah setahun untuk projek HSR.

“Jadi jika hanya rakyat Malaysia yang mendapat (tiket) secara percuma, maka kita akan jimat lebih banyak…. malah boleh menawarkan lebih banyak penerbangan percuma,” katanya.

Laporan pada Julai lalu mengatakan pelaksanaan semula projek HSR Kuala Lumpur-Singapura akan dibiayai sepenuhnya pihak swasta, tanpa membabitkan kos daripada kerajaan.

Malaysia dan Singapura sebelum ini bersetuju untuk membina projek berkenaan membabitkan nilai RM110 bilion sepanjang 350 kilometer (km) yang dijangka memendekkan masa perjalanan antara kedua-dua bandar raya kepada 90 minit.

Namun, pada 1 Januari 2021, kedua-dua negara mengumumkan bersama penamatan projek HSR apabila masing-masing gagal mencapai persetujuan bagi perubahan dicadangkan Malaysia, sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Disember 2020.

Pada Mac 2021, Malaysia mengumumkan membayar SG$102.8 juta kepada Singapura selaku kos yang ditanggung bagi pembangunan projek HSR dan berkaitan pelanjutan penangguhannya.

Sejak 1990-an lagi, beberapa syarikat Malaysia mencadangkan projek HSR dan pada awal 2000, YTL Corp Bhd mengemukakan cadangan untuk membangunkan projek itu dengan nilai RM8 bilion.

Ia tidak pernah menjadi kenyataan.

Dalam pada itu, Pua menegaskan, apa sekali pun pengiraannya, contoh yang diberikannya itu menggambarkan semak imbang terhadap realiti yang jelas mengapa HSR yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura tidak sedikit pun memberi nilai kewangan kepada Malaysia. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button