Berita

Lebih baik Najib manfaatkan masa di penjara muhasabah diri, bertaubat – Ramkarpal

Beliau berkata, sebarang perdebatan, sama ada dengan beliau atau sesiapa sahaja, tidak akan mengubah fakta bahawa Najib kekal sebagai banduan dan sabitannya adalah selamat

KUALA LUMPUR 5 Feb – Ahli Parlimen Gelugor, Ramkarpal Singh, enggan melayan cabaran debat terbuka yang dibuat pengendali akaun Facebook bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang disifatkannya sekadar mencari publisiti murahan untuk kekal relevan.

Bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu menegaskan, tiada guna beliau berurusan dengan Najib dalam isu berkenaan kerana yang menjadi asas adalah majoriti pertimbangan dalam permohonan diguna pakai, selain Lembaga Pengampunan juga mengekalkan sabitannya.

Beliau berkata, sebarang perdebatan, sama ada dengan beliau atau sesiapa sahaja, tidak akan mengubah fakta bahawa Najib kekal sebagai banduan dan sabitannya adalah selamat.

“Jelas sekali Najib ingin menggunakan saya untuk kekal relevan dengan mencabar saya dalam perbahasan ini. Saya tidak akan membiarkan diri saya dipergunakan dengan aksi publisiti murahan.

“Kasihan melihat Najib dalam keadaan terdesak. Mungkin lebih baik dia memanfaatkan masa di penjara dengan bermuhasabah diri dan bertaubat,” katanya.

Ramkarpal berkata, sesiapa saja yang mengendalikan akaun media sosial itu, hatta Najib sendiri wajar berhenti mengeluarkan cabaran berdebat secara terbuka dengan mana-mana pihak kerana tindakan itu tidak akan mengubah nasib diri bekas perdana menteri itu.

“Dalam apa jua keadaan, saya menganggap catatan Facebook itu diarahkan oleh Najib…Setahu saya, tiada seorang pun dari pihak Najib menghubungi saya.

“Oleh itu, ia adalah membuang masa untuk menyahut cabaran yang tidak masuk akal,” katanya.

Semalam, wakil kepada Najib mencabar mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan pengurangan hukuman terhadap bekas perdana menteri itu untuk berdebat secara terbuka berkaitan kes SRC International.

Perkara itu disuarakan menerusi satu hantaran di Facebook Najib, dengan cabaran itu ditujukan kepada Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh secara khusus.

Jika Ramkarpal menolak, ‘pembenci’ lain seperti Tony Pua dan (Mohammed) Hanipa Maidin boleh menggantikannya,” kata pengendali akaun itu.

Jumaat lalu, Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak 2022, sekali gus menyaksikannya bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Selain tarikh pembebasan awal itu, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, turut mengumumkan denda perlu dibayar oleh Najib dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Namun sekiranya denda itu tidak dibayar, tempoh penjara bagi Najib akan ditambah setahun dengan tarikh pembebasan beliau dijadualkan pada 23 Ogos 2029.

Keputusan diskaun hukuman yang diberikan kepada Najib itu mengundang reaksi yang pelbagai daripada banyak pihak, terutama dalam kalangan pemimpin parti UMNO, PKR dan DAP yang ketika ini bekerjasama membentuk Kerajaan Perpaduan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Back to top button