Berita

Lebih setengah juta rakyat sudah daftar PADU

Daripada jumlah itu, seramai 230,443 pengguna sudah melakukan proses e-KYC.

KUALA LUMPUR 4 Jan. – Seramai 456,136 pengguna sudah berdaftar dengan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) setakat jam 9 pagi tadi.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata daripada jumlah itu, seramai 230,443 pengguna sudah melakukan proses e-KYC (Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital), yang mana 61 peratus sudah selesai dengan pengesahan.

Katanya, secara umum, individu yang memakai cermin mata tidak menyebabkan masalah untuk melaksanakan e-KYC.

“Pengguna perlu mengemas kini sistem pengoperasian telefon bimbit masing-masing dengan versi terkini, mengosongkan cache dan memastikan pelayar tidak berada dalam tetapan peribadi.

“Sekiranya pengguna masih menghadapi masalah berkaitan e-KYC, pengguna boleh hadir ke kaunter PADU yang terdekat,” katanya dalam hantaran di X, hari ini.

Rafizi berkata, pihaknya melihat isu keselamatan siber sebagai isu yang serius dan akan sentiasa memantau dan menguji untuk memastikan tiada kecacatan atau kelemahan pada sistem.

Katanya, mekanisme kawalan maklumat yang dibangunkan dalam sistem PADU memerlukan individu membuat perakuan dan pengesahan maklumat yang sudah dikemaskini selepas menjalani proses pengesahan identiti melalui e-KYC.

“Setiap maklumat yang sudah diperakukan tidak boleh dipinda kecuali dengan membuat pelaporan aduan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) bagi membolehkan tindakan dilaksanakan oleh pentadbir PADU.

“Pengguna juga perlu mengemaskini maklumat pekerjaan dan seterusnya mengemaskini variabel pendapatan… bagi kategori penganggur pula, pengguna boleh mengemaskini bantuan atau sumbangan dan memasukkan jumlah yang diterima bagi menampung kehidupan,” katanya.

Rafizi berkata, berhubung aduan mengenai kelemahan berkaitan pengendalian API membabitkan kata laluan yang menyebabkan risiko keselamatan, insiden itu sudah diselesaikan jam 9.15 malam, pada 2 Januari lalu.

“Pasukan pembangunan sistem berjaya melaksanakan pembaikan, peningkatan dan pengukuhan dalam tempoh sejam,” katanya.

Rafizi berkata, bagi pengguna yang mendaftar PADU menggunakan komputer riba apabila sampai ke peringkat e-KYC, pengguna akan diberi satu kod QR code.

Katanya, pengguna perlu menggunakan telefon pintar untuk proses mengambil gambar kad pengenalan (depan dan belakang) dan gambar selfie.

“Ketika ini terdapat pengguna yang menghadapi masalah ketika melakukan proses tersebut dan mendapat ‘error code 100’.

“Pengguna perlu mengemas kini sistem pengoperasian telefon bimbit masing-masing dengan versi terkini, mengosongkan cache serta memastikan pelayar tidak berada dalam tetapan peribadi,” katanya. — Berita Harian

Artikel Berkaitan

Back to top button