Leftenan Muda Emil Syahid meninggal dunia dipercayai akibat strok haba
Allahyarham Leftenan Muda Emil Syahid Iskandar, 24, disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bharu, semalam
RAWANG 16 Okt – Seorang Pegawai Muda Kor Risik Diraja (KRD) meninggal dunia ketika menerima rawatan di sebuah hospital dipercayai mengalami simptom strok haba.
Allahyarham Leftenan Muda Emil Syahid Iskandar, 24, disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bharu, semalam.
Emil Syahid antara 10 anggota dan pegawai yang dipercayai mengalami simptom strok haba ketika menjalani latihan di Kem Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) Kota Tinggi, Johor, kelmarin.
Difahamkan, Allahyarham mengalami pitam dan tidak sedarkan diri ketika menjalani latihan Jalan Laju Kursus Tempur Pegawai Muda Tentera Darat Siri 3/2023 di kem itu.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Tasik Puteri, di sini hari ini.
Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan turut hadir ketika majlis pengebumian.
Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kenyataan di Facebook, memaklumkan Muhammad Hafizuddeain turut bertemu dengan ibu bapa arwah untuk memberi kata-kata semangat.
“Panglima Tentera Darat memberikan kata-kata semangat serta menyampaikan salam takziah selain menitipkan supaya keluarga tabah dengan ketentuan Ilahi,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seramai 10 penuntut yang menjalani kursus tempur pegawai muda di lapang sasar kem PULADA, dipercayai mengalami simptom strok haba hingga mengakibatkan tiga daripada mereka terpaksa diberikan rawatan rapi di hospital.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
Katanya, kejadian berlaku ketika peserta kursus itu menjalani latihan di kem berkenaan. – Xklusif