Berita

Lelaki Bangladesh dalang klon permit, pasport ditahan di Tampoi

Caj bayaran yang dikenakan sindiket ini sekitar RM6,500 bagi satu permohonan

JOHOR BAHRU 20 Dis – Kegiatan licik seorang lelaki warga Bangladesh yang mendakwa dirinya pengerusi sebuah syarikat yang mengendalikan pembaharuan permit kerja melalui Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 dan ‘Flying Passport’ terbongkar selepas diberkas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor dalam satu operasi di Tampoi di sini semalam.

Pengarah JIM Negeri Johor, Baharuddin Tahir berkata, suspek yang berusia 26 tahun itu berjaya diberkas dalam serbuan pada pukul 1.55 tengah hari.

Menurutnya, suspek dipercayai sudah bergiat aktif menjalankan bisnes haram ini sejak awal tahun ini dengan menggunakan pelbagai taktik dan modus operandi.

“Salah satu modus operandi sindiket ini ialah mencari dan mengumpul passport dari rumah ke rumah kumpulan sasaran sindiket tersebut. Sasaran sindiket ini adalah warga asing yang mempunyai masalah permohonan lanjutan permit kerja serta pendaftaran RTK 2.0.

“Caj bayaran yang dikenakan sindiket ini sekitar RM6,500 bagi satu permohonan,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Imigresen Negeri Johor, Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Taman Setia Tropika di sini hari ini.

Baharuddin berkata, turut ditahan seorang lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki warga Myanmar berusia lewat 20-an yang disyaki terlibat sebagai ‘runner’ kepada lelaki yang mendakwa pengerusi sebuah syarikat itu.

Katanya, imigresen turut menyita sebuah kenderaan jenis Lexus RX berwarna hitam selain merampas tiga naskah pasport antarabangsa Bangladesh, Indonesia (2) sebuah komputer riba, sebuah ‘external hard disk’ yang mengandungi pelbagai maklumat pemohonan RTK 2.0, sebuah telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM2,058.

“Pihak imigresen tidak pernah melantik mana-mana pihak ketiga untuk menguruskan permohonan RTK 2.0. Jika ada individu yang berbuat demikian maka itu adalah sindiket yang mengaut keuntungan dengan bayaran yang tinggi,” tegasnya.

Beliau menambah, pihaknya telah menumpaskan tiga sindiket penipuan berkaitan pembaharuan permit kerja melalui RTK 2.0 dan ‘Flying Passport’ pada bulan ini termasuk kes terbaharu.

Katanya, menerusi Ops Serkap pertama berkaitan ‘Flying Passport’ di Iskandar Puteri ditumpaskan pada 3 Disember lalu lalu berjaya menahan seorang wanita warga tempatan dan seorang lelaki warga China bersama lima pasport China dan wang tunai berjumlah RM12,100.

Turut disita sebuah kenderaan jenis Toyota Mark X berwarna putih.

“Wanita tempatan berkenaan disyaki menjadi orang tengan dalam sindiket ini.

“Kedua-dua suspek dituduh dibawah Seksyen 12(1)(f) Akta Passport 166 (Akta 150) kerana tanpa kuasa yang sah, ada dalam milikannya mana-mana pasport atau dokumen perjalanan dalam negeri yang dikeluarkan bagi penggunaan seseorang selain dirinya sendiri,” ujarnya.

Katanya, Ops Serkap kedua pula dijalankan pada 8 Disember lalu dan JIM Johor berjaya memberkas pasangan warga asing di sebuah rumah flat di Pasir Gudang.

Pasangan yang terdiri daripada seorang lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita warga Indonesia disyaki ejen sindiket memperbaharui permit kerja secara ‘fraud’.

Dalam serbuan itu, 10 naskah pasport antarabangsa Bangladesh dan tiga naskah passport antarabangsa India serta wang tunai berjumlah RM34,983.00 dirampas. – KOSMO! ONLINE

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button