Lelaki ditahan curi duit tabung surau RM100 di Seremban
Lelaki itu ditahan kira-kira pukul 8.30 malam tadi.

KUALA LUMPUR 29 Nov. – Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai mencuri duit tabung di surau Taman Sri Pulai 3 Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan Sabtu lalu, pukul 3 petang.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian daripada seorang lelaki berusia 66 tahun pada pukul 7.50 malam.
Beliau berkata, siasatan mendapati suspek telah masuk ke dalam surau dan mencuri duit tabung sebanyak RM100 sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta.
“Suspek seorang lelaki berusia 24 tahun berjaya ditahan di Taman Bayu Batu , Jalan Pantai Teluk Kemang pada pukul 8.30 malam tadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, turut dirampas sebuah kereta Perodua Myvi dan peralatan untuk memecah tabung.
Suspek telah dibawa ke Mahkamah Seremban dan dibenarkan reman selama empat hari sehingga Sabtu bagi membantu siasatan.
Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan. — Xklusif