Polis telah menahan seorang lelaki yang dipercayai bertanggungjawab menghantar mesej ugutan melalui platform media sosial kepada penyanyi terkenal Nor Ashima Ramli, atau lebih dikenali sebagai Baby Shima.
Ketua Polis Daerah Sibu, Zulkipli Suhaili, berkata suspek, seorang pemandu lori berusia 35 tahun, ditahan pada jam 9.15 malam semalam di Kota Sentosa, Kuching.
Telefon pintar suspek telah dirampas bagi membantu siasatan, katanya, sambil menambah bahawa pihak polis Sibu akan memohon perintah reman terhadap suspek hari ini.
Menurut Zulkipli, polis menerima laporan berhubung ugutan bunuh daripada Baby Shima, yang berada di Sibu atas urusan kerja, pada jam 11.31 malam, Isnin lalu.
Penyanyi itu, yang terkenal dengan lagu hit Bujang Sarawak, membuat laporan selepas menemui komen ugutan di media sosial daripada individu yang tidak dikenali.
“Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Zulkipli turut meminta orang ramai agar lebih bertanggungjawab ketika memberi komen atau memuat naik kenyataan di platform media sosial supaya tidak melampaui batas dan melanggar undang-undang.
Baby Shima membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu dengan diiringi Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing.
Baby Shima merupakan salah seorang artis jemputan yang membuat persembahan pada sambutan Tahun Baru 2025 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di Kompleks Sukan Komuniti Azman Hashim, di Sibu Jaya, malam tadi.