Lelaki ditemui maut dipercayai ditikam dalam teksi di Seberang Takir
Pemandu teksi itu dipercayai dibunuh suspek berumur 29 tahun
KUALA NERUS 11 Ogos – Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan mengerikan dan berlumuran darah di dalam teksi miliknya berhampiran Klinik Kesihatan Seberang Takir, Kuala Nerus, malam tadi.
Difahamkan, saksi kejadian memberitahu teksi berkenaan didapati dipandu melawan arus sebelum orang ramai menemui mayat pemandu teksi berada di bahagian tempat duduk belakang.
Suspek juga dikatakan mengakui membunuh pemandu berkenaan selain dia ditemui dalam keadaan berlumuran darah disyaki kesan percikan darah mangsa.
View this post on Instagram
Beberapa video kejadian berkenaan turut tular di laman sosial selain kenyataan daripada saksi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Abdul Rahim Md Din berkata siasatan awal mendapati seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di bahagian penumpang belakang dengan beberapa kesan kecederaan di bahagian belakang badan.
Menurut Abdul Rahim, sepasukan anggota digerakkan ke lokasi sejurus pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira jam 10.56 malam.
Mangsa bagaimanapun telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir ke lokasi kejadian.
Susulan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun bagi membantu siasatan.
“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan tersebut pihak polis telah menjumpai sebilah pisau di atas pelapik tempat kaki bahagian pemandu.
“Suspek berusia 29 tahun telah ditahan dan akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman,” katanya.
Katanya siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Peseksaan.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat. — Xklusif