Berita

Lelaki kecewa beli telefon pintar RM2,500 hanya dapat plastik

Pada 6 Januari laku, mangsa membeli telefon pintar jenama dari salah sebuah kedai telekomunikasi yang terletak di Selangor

SLIM RIVER 11 Jan – Seorang pemuda mendakwa terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit selepas hanya menerima plastik di dalam kotak tanpa telefon pintar yang dibeli secara pos, dekat sini.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Judin, 23, berkata pada 6 Januari lalu dia membuat pembelian telefon pintar jenama terkenal dari salah sebuah kedai telekomunikasi yang terletak di Selangor.

Menurutnya, pihak penjual telah menghantar pesanan dia dengan menggunakan perkhidmatan kurier selepas dia membuat pembayaran sebanyak RM2,500 untuk pembelian telefon pintar itu.

“Pada Isnin lalu, saya menerima bungkusan kotak terbabit tetapi bila dibuka bungkusan berkenaan didapati telefon yang dibeli tiada dalam kotak itu.”

“Malah, di dalam kotak terbabit hanya mengandungi plastik yang biasanya digunakan untuk membalut barang untuk mengelak barang rosak.”

“Tanpa membuang masa, saya terus menghubungi pihak penjual memaklumkan saya hanya menerima bungkusan kotak yang mengandungi plastik sahaja tanpa telefon,” katanya.

Judin berkata pihak penjual terkejut selepas dia memaklumkan telefon yang dipesan tidak terdapat dalam bungkusan kotak terbabit.

Katanya, inilah kali pertama dia mengalami kerugian sepanjang tiga tahun dia berurusan jual beli telefon untuk kegunaan sendiri dan rakan dengan kedai telekomunikasi berkenaan.

“Pihak saya dan penjual telah menghubungi syarikat kurier terbabit untuk membuat laporan berhubung kehilangan telefon di dalam bungkusan kotak berkenaan.”

“Saya mengesyaki bungkusan terbabit telah diceroboh berdasarkan maklumat cara pembungkusan yang dimaklum oleh pihak penjual sebelum membuat penghantaran,” katanya.

Dia mengakui kesal dengan kejadian itu dan telah membuat laporan polis di Balai Polis Slim River malam kelmarin dan pihak penjual juga turut berbuat demikian di tempat berasingan.

Tambahnya lagi, telefon yang dibeli itu untuk kegunaan sendiri dan bagi memiliki telefon berjenama terbabit bukanlah mudah kerana dia terpaksa menabung selama dua tahun. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button