Berita

Lelaki ‘lalok’ dadah pukul ibu dengan kayu hingga cedera

Mangsa sebelum itu menerima rawatan awal di Klinik Kesihatan Cheneh, namun dihantar ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut

CHUKAI 9 Feb – Wanita cedera di tangan dan belakang badan akibat dipukul anak lelaki dengan kayu di Felda Neram 1, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, susulan itu, pihaknya menahan suspek berusia 48 tahun kira-kira lima jam selepas kejadian.

Katanya, polis menerima maklumat pada 9.50 pagi, menerusi laporan oleh petugas ambulans Persatuan Bulan Sabit Merah yang menguruskan mangsa berusia 64 tahun.

“Mangsa sebelum itu menerima rawatan awal di Klinik Kesihatan Cheneh, namun dihantar ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.

“Bertindak atas laporan itu, pasukan memburu suspek dan dia akhirnya ditahan pada jam 2.30 petang tadi, tidak jauh dari tempat kejadian,” katanya.

Hanyan berkata, ketika kejadian, suspek dipercayai di bawah pengaruh dadah dan ujian air kencing mengesahkannya.

Katanya, siasatan lanjut turut mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau iaitu dua di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya dan dua rekod di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button