Berita

Lelaki makan tengah hari bersama rakan wanita sebelum tikam hingga maut

Kejadian berlaku di kawasan parkir sebuah restoran di Klang.

KLANG 19 Dis. – Seorang lelaki sempat makan tengah hari bersama rakan wanitanya sebelum menikam mangsa beberapa kali menggunakan di kawasan parkir restoran terbabit di jalan Bayu Tinggi 5, Klang, Selangor pada semalam.

Lelaki berusia 44 tahun itu kemudian memasukkan mangsa yang berlumuran darah ke dalam kereta, sebelum memandu pulang ke rumahnya di Jalan Sungai Nibong 5 di Kapar, dekat sini.

Sebaik menyedari mangsa tidak lagi bernyawa, suspek menikam badannya sendiri sebelum dia ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang melaporkan seorang wanita ditikam seorang lelaki di lokasi terbabit.

Katanya, kejadian berlaku kira-kira jam 1.20 petang ketika mangsa, 26, berjumpa dengan suspek di restoran terbabit sebelum ditikam berdekatan kereta selepas mereka selesai makan tengah hari.

“Suspek ditahan jam 4.20 petang oleh sepasukan polis dari Cawangan D9 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, sebelum pemeriksaan lanjut menemukan wanita berkenaan tidak sedarkan diri di tempat duduk penumpang hadapan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya memaklumkan polis turut menemui sebilah pisau dipercayai digunakan suspek.

Hoong Fong berkata, bedah siasat menemukan banyak kesan tikaman pada bahagian depan dan belakang badan mangsa, dengan punca kematian disebabkan kesan tikaman pada yang tembus ke jantung.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis masih menyiasat punca sebenar kejadian. — Berita Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button