Berita

Lelaki mangsa gangguan seksual perlu berani buat laporan

Golongan lelaki didapati lebih gemar memendam perasaan jika berdepan gangguan seksual.

KUALA LUMPUR 20 Nov. – Lelaki yang menjadi mangsa gangguan seksual diminta lebih berani dan segera membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi memastikan jenayah itu dapat ditangani sebaiknya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri berkata golongan itu didapati lebih gemar memendam perasaan jika berdepan gangguan seksual.

Katanya, gesaan itu disebabkan tahap kesedaran masih rendah kerana mangsa takut akan implikasinya memandangkan kebiasaannya pelaku gangguan seksual di tempat kerja sering melibatkan pegawai atasan.

“Daripada keseluruhan aduan mengenai gangguan seksual, hanya 10% melibatkan mangsa lelaki. Mereka juga berdepan gangguan seksual berbentuk sentuhan atau lisan. Kita tahu laporan polis tidak ramai buat, tetapi di pihak kementerian, Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) menerima banyak aduan ini.

“Oleh itu, kita galakkan golongan lelaki untuk lebih berani dan tampil membuat aduan, termasuk juga dalam kalangan kanak-kanak, khususnya pelajar sekolah. Kita tidak mahu ada kesulitan dalam menerima aduan sama ada lelaki atau wanita, layanan seharusnya tiada beza.”

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor semalam.

Nancy berkata, 477 kes gangguan seksual dilaporkan tahun lalu dengan 90% daripadanya dibuat wanita.

Justeru, beliau berharap penubuhan Tribunal Anti Gangguan Seksual dapat membantu mangsa membuat aduan, sekali gus menambah baik sistem perundangan dan pengendalian aduan dengan cepat, mudah dengan kos minimum.

“Buat masa ini, tribunal akan beroperasi di Semenanjung dan berpusat di Putrajaya, namun saya akan syorkan wakil dari Sabah dan Sarawak turut dilibatkan bagi memudahkan aduan diterima dari kedua-dua negeri itu. Menerusi tribunal ini, tindakan boleh diambil daripada sudut sivil, jadi mereka boleh buat tuntutan, ‘compensation’.”

Pada 10 Okt lalu, Jabatan Perkhidmatan Awam meluluskan perjawatan bagi penubuhan Tribunal Anti Gangguan Seksual. — Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button