Lelaki maut apabila rumah runtuh di Kuching
Seorang lelaki maut apabila sebuah rumah runtuh di Jalan Stampin Baru di sini awal pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata pusat operasinya menerima panggilan pada jam 2.50 pagi.
“Sebaik tiba di lokasi, penduduk berhampiran yang berkumpul di luar memaklumkan kepada kami bahawa terdapat seorang mangsa yang terperangkap di dalam rumah setingkat tersebut.
“Anggota bomba kemudian melancarkan operasi mencari dan menyelamat, dan menemui seorang lelaki yang tidak sedarkan diri di bawah runtuhan,” kata jurucakap itu dalam satu kenyataan.
Mangsa, yang dikenali sebagai Lim Inn Tong, 58 tahun, dikeluarkan dari runtuhan pada jam 4.05 pagi dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Siasatan akan dijalankan untuk menentukan punca kejadian,” tambah jurucakap itu.