Berita

Lelaki maut motosikal terbabas masuk masjid di Kulim

Mangsa terjatuh tidak jauh dari situ, manakala motosikalnya terpelanting kira-kira tiga meter

KULIM 22 Dis – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang terbabas sehingga memasuki ruang solat Masjid Guar Lobak, Padang Serai, di sini.

Mangsa berusia 20-an dipercayai menunggang seorang diri ketika kejadian sekitar jam 5.45 pagi tadi.

Bilal masjid, Shukri Mohamad, berkata kejadian selepas sebuah van kilang yang berhenti di hadapan masjid itu beredar apabila secara tiba-tiba motosikal itu meluru masuk dengan laju.

“Saya baru saja sampai di masjid untuk bersiap melaungkan azan Subuh, kejadian di depan mata. Ketika itu, ada van kilang berhenti di hadapan pintu pagar masjid kerana pemandu nak guna tandas.

“Selepas itu, dia nak tutup pintu pagar masjid kerana mahu beredar, tapi saya beritahu biarkan saja pintu terbuka kerana sudah hampir waktu Subuh dan jemaah akan datang menunaikan solat.

“Sebaik van beredar, tiba-tiba sebuah motosikal datang dengan laju dari arah Jalan Sidam Kanan, terus masuk ke dalam kawasan masjid dan kemudian merempuh tembok kolah sebelum terbabas ke ruang solat,” katanya.

Katanya, mangsa terjatuh tidak jauh dari situ, manakala motosikalnya terpelanting kira-kira tiga meter.

“Saya terus meluru ke arah mangsa dan ketika itu ternampak dia berlumuran darah. Saya sempat mengajar dia mengucap dua kalimah syahadah sambil turut dibantu jemaah lain yang tiba tidak lama kemudian.

“Mereka kemudian membantu menghubungi ambulans dan polis,” katanya yang masih terkejut dengan kejadian itu. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Back to top button