Berita

Lelaki meninggal dunia 2 jam selepas isteri tercinta ‘pergi’

Pasangan berkenaan tinggal berdua sahaja di rumah Blok B1, Felda Air Tawar 4 dan dimaklumkan tidak dikurniakan anak

KOTA TINGGI 20 Dis – Seorang lelaki warga emas ditemukan tidak sedarkan diri di rumahnya, Felda Air Tawar 4, Teluk Sengat di sini, hari ini.

Mohamad Basar, 60-an, ditemui jiran yang berkunjung ke rumah terbabit untuk memaklumkan mengenai isterinya, Norazizah Jasri, 60-an, sudah meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi (HKT) di sini, kira-kira jam 3 pagi.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, Norazizah dirawat di HKT sejak Isnin lalu akibat jangkitan paru-paru.

“Pasangan berkenaan tinggal berdua sahaja di rumah Blok B1, Felda Air Tawar 4 dan dimaklumkan tidak dikurniakan anak.

“Pada Isnin lalu, isterinya dihantar ke HKT untuk menerima rawatan akibat jangkitan paru-paru, namun Norazizah disahkan meninggal dunia di wad HKT akibat kegagalan fungsi organ dalaman, pada 3 pagi tadi.

“Namun, pada 4 pagi, difahamkan jiran mereka ke rumah pasangan itu untuk memaklumkan mengenai kematian berkenaan, namun mendapati suami Norazizah tidak sedarkan diri di ruang bilik solat rumah,” katanya.

Hussin berkata, jiran setempat kemudian menghantar lelaki itu ke HKT untuk menerima rawatan lanjut.

Bagaimanapun lelaki itu disahkan meninggal dunia kira-kira 5 pagi oleh pihak HKT yang mana punca kematian dipercayai akibat angin ahmar.

Hussin berkata, jenazah pasangan suami isteri itu selamat dikebumikan jam 11.30 pagi di Tanah Perkuburan Islam, Felda Air Tawar 4 di sini. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button