Berita

Lelaki Pakistan menyamar jadi doktor didenda RM8,000

Polis mendapati Suhaib menawarkan khidmat rawatan kesihatan tanpa sijil perakuan dan kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

KUALA LUMPUR 20 Dis – Seorang lelaki warga Pakistan yang menyamar sebagai pegawai perubatan di sebuah klinik di Cheras, dijatuhi hukuman denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim menjatuhkan hukuman itu terhadap Suhaib Jalal, 26, setelah mengaku bersalah menipu dengan menyamar sebagai pegawai perubatan sehingga mendorong orang mempercayai dia mempunyai kelulusan untuk menjalankan amalan perubatan.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah klinik di Taman Maluri, Cheras di sini pada 9 malam, 1 Dis lepas. Pertuduhan mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara lapan bulan jika gagal membayar denda. Dia membayar denda itu.

Mengikut fakta kes, ketika serbuan dilakukan di tempat kejadian, polis mendapati Suhaib menawarkan khidmat rawatan kesihatan tanpa sijil perakuan dan kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Aisyah Mohamed Zanyuin memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh supaya mematuhi undang-undang dan menjalani prosedur yang ditetapkan oleh KKM.

Peguam Tripatjit Singh yang mewakili Suhaib memohon hukuman denda atas alasan tertuduh berkelulusan dalam jurusan perubatan dari sebuah universiti di China.

“Anak guam saya mempunyai latar belakang sebagai seorang doktor tetapi dia tidak mendapat pengesahan daripada KKM untuk memberikan khidmat perubatan di negara ini,” katanya yang turut mengendalikan kes itu bersama peguam Tharanjit Singh. – Awani

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button