Lelaki patahkan pengelap cermin kereta ditahan

Seorang lelaki yang disyaki melakukan perbuatan khianat dengan mematahkan pengelap cermin sebuah kereta dekat Jalan Dataran Sentral 2, di sini, 10 Julai lalu, ditahan polis petang Khamis.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, suspek berusia 32 tahun itu ditahan kira-kira jam 2.30 petang di sekitar Port Dickson.
“Pada 10 Julai lalu, kami menerima satu laporan daripada seorang wanita berhubung kereta Perodua Alza miliknya yang diparkir dan ditinggalkan di lokasi mengalami kerosakan.
“Wanita itu mendakwa cermin hadapan dan kedua-dua belah cermin sisi pecah, manakala pengelap cermin hadapan serta belakang patah,” katanya lapor BH dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohamad Hatta berkata, kejadian itu dirakam kamera papan pemuka kereta mangsa yang menunjukkan seorang lelaki dipercayai warga tempatan melakukan perbuatan itu.
“Susulan video itu, kita mengenalpasti suspek dan berjaya ditahan di Port Dickson petang semalam. Turut dirampas sehelai baju berwarna biru yang dipercayai dipakai ketika kejadian dan akan mengambil keterangan suspek mengenai punca dan motif kejadian,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat ke atas harta orang lain dan permohonan reman terhadap suspek dibuat pagi ini.
Sebelum ini, media melaporkan tidak tahu apa puncanya, seorang lelaki bertindak mematahkan pengelap cermin, cermin sisi dan cermin hadapan sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Dataran Sentral 2, bersebelahan Seremban Gateway.