Lelaki tak puas hati SUV rosak beberapa minit selepas keluar pusat pameran
Pengguna Facebook yang dikenali sebagai Ahmad Shah mendakwa, bunyi pelik itu seakan-akan seperti bunyi motosikal bergerak

KUALA LUMPUR 15 Jan – Seorang lagi pengguna media sosial tampil meluahkan rasa tidak puas hati dan mendakwa kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CRV yang baru dibeli oleh bapanya mengeluarkan bunyi pelik hanya beberapa minit selepas dibawa keluar dari sebuah pusat pameran kereta di Melaka Disember tahun lalu.
Pengguna Facebook yang dikenali sebagai Ahmad Shah mendakwa, bunyi pelik itu seakan-akan seperti bunyi motosikal bergerak.
“Ayah menghantar kereta tersebut ke cawangan pusat kenderaan berkenaan untuk pemeriksaan.
“Pihak itu hanya menukar tombol kunci pintu namun kereta masih mengeluarkan bunyi yang sama,” katanya
Menurutnya, kereta itu kemudiannya dibawa sekali lagi ke pusat kenderaan berkenaan untuk pemeriksaan dan dipandu uji kali kedua.
“Pengurus pusat kenderaan berkenaan mengesahkan ada bunyi tidak normal pada kenderaan tersebut.
“Dia maklumkan bahawa kereta tersebut akan dihantar ke pusat servis utama iaitu Honda Malaysia.
“Ini kerana dakwanya, cawangan berkenaan tidak dapat membuat apa-apa tanpa pemeriksaan yang lebih teliti daripada Honda Malaysia,” katanya. – Xklusif