Berita

Lelaki terjun sendiri sebelum maut digilis LRT

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 9 malam semalam.

KUALA LUMPUR 2 Dis. – Lelaki yang maut digilis tren transit aliran ringan (LRT) di stesen Dato Keramat, di sini semalam dipercayai turun ke landasan dengan sendiri.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu jam 10.56 malam daripada anggota polis bantuan.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis mendapati mangsa yang juga lelaki tempatan bersama penumpang lain sedang menunggu LRT di platform 1.

“Ketika tren hendak berhenti, tiba-tiba mangsa melompat dan baring di landasan lalu dilanggar oleh LRT berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu media melaporkan seorang lelaki maut dengan kedua-dua kakinya digilis tren selepas dikatakan terjatuh di landasan di stesen LRT Dato Keramat, di sini, malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 9.05 malam tadi.

Sementara itu, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali kepada perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya memaklumkan kejadian menyebabkan berlaku gangguan di landasan berkenaan.

Katanya, kejadian kira-kira jam 8.50 malam itu mengakibatkan sistem kecemasan diaktifkan serta-merta menyebabkan tren berhenti lama di landasan.

Mengulas lanjut Ashari berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian jam 11.13 malam.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, justeru orang ramai yang mempunyai

sebarang maklumat berkaitan boleh menghubungi talian 039289922 bagi membantu siasatan,” katanya. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button