
Seorang lelaki dikehendaki dengan rekod 14 kes jenayah dan dadah maut dalam insiden berbalas tembakan dengan polis di Taman Molek, Johor Bahru, awal pagi tadi.
Lelaki berusia 63 tahun yang menunggang motosikal itu melepaskan tembakan ke arah polis selepas mereka menahannya untuk pemeriksaan pada jam 3.10 pagi, kata Ketua Polis Johor, M Kumar.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari bahagian jenayah berat Jabatan Siasatan Jenayah negeri yang sedang melakukan rondaan mendapati seorang lelaki menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan di Jalan Persiaran Bumi Hijau, Taman Molek.
“Polis mengekori penunggang motosikal itu dan menahannya. Suspek tiba-tiba melepaskan beberapa tembakan ke arah polis.
“Polis membalas tembakan, menyebabkan suspek maut di tempat kejadian,” katanya seperti dipetik oleh Berita Harian.
Kumar berkata, polis menemui sepucuk pistol Smith & Wesson di atas tanah berhampiran suspek, bersama empat butir peluru hidup dan dua kelongsong peluru.
Beliau menambah bahawa kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melepaskan tembakan ketika melakukan kesalahan terjadual.