Berita

Lelaki bunuh isteri guna dumbel berdepan hukuman mati

Tertuduh dia didakwa berniat membunuh hingga menyebabkan kematian Nurul Qurraisyia Zulkafli, 23, di sebuah rumah di Jalan Sungai Congkak, Seksyen 32

SHAH ALAM 21 Dis – Seorang lelaki berdepan hukuman mati apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan membunuh isterinya yang merupakan pensyarah kolej di sebuah rumah sekitar daerah ini, minggu lalu.

Namun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Izzat Saat, 38, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Farah Rosnan.

Tertuduh yang memakai baju-T merah mengangguk faham akan pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa berniat membunuh hingga menyebabkan kematian Nurul Qurraisyia Zulkafli, 23, di sebuah rumah di Jalan Sungai Congkak, Seksyen 32 di sini, kira-kira pukul 10.30 malam, 14 Disember lalu.

Justeru, dia dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara sehingga 40 tahun dan minimum 12 sebatan.

Majistret kemudian menetapkan tarikh bagi sebutan semula, pengurusan kes dan penyerahan laporan kimia, forensik dan bedah siasat pada 19 Februari depan. – KOSMO!ONLINE

Artikel Berkaitan

Back to top button