Berita

Letak syarat untuk beli minyak subsidi, peniaga didenda RM30,000

Kesalahan itu dilakukan pada 7 Oktober lalu di Segamat, Johor.

KUALA LUMPUR 22 Nov. – Tindakan seorang peruncit meletakkan syarat pembelian barangan berjumlah RM30 ke atas bagi membeli dua paket minyak masak paket bersubsidi, membawa apabila didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Segamat, pada Selasa.

Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, kesalahan itu dilakukan pada 7 Oktober lalu di Jementah, Segamat.

“Selain itu, peruncit berkenaan turut meletakkan syarat bagi pembelian di bawah RM30 hanya dibenarkan membeli minyak masak paket satu kilogram (kg) sebanyak satu paket sahaja, yang mana syarat jualan itu tidak dibenarkan oleh Pengawal Bekalan.

“Hakim Rahimah Abd Majid menjatuhkan hukuman denda RM30,000 selepas peruncit berkenaan mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, Lilis Saslinda berkata, seorang lagi pemilik kedai runcit di Segamat turut didenda RM40,000 kerana menjual barang dagangan palsu membabitkan jenama penjagaan diri terkenal.

Katanya, peruncit berkenaan melakukan kesalahan berkenaan pada 22 Disember tahun lalu susulan serbuan dibuat anggota KPDN.

“Pertuduhan adalah di bawah Akta Cap Dagangan 2019, diambil tindakan di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019, iaitu ada dalam milikan, jagaan dan kawalannya barangan menggunakan cap dagangan palsu bagi tujuan perdagangan bagi produk jenama terkenal tempatan di mana jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sehingga RM8,000,” ujarnya.

KPDN Johor akan bertindak tegas serta tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang untuk membanteras penyelewengan barang kawalan dan perdagangan demi kepentingan rakyat.

Orang ramai turut diminta menyalurkan maklumat yang lengkap dan spesifik berhubung sebarang perlakuan yang mencurigakan membabitkan barang bersubsidi kepada KPDN melalui saluran yang disediakan.

“Aduan boleh dibuat sama ada ke 1800 886 800; 03-8882 6245 / 6088; Whatsapp KPDN iaitu 019-279 4317; e-aduan@kpdn.gov.my; aplikasi telefon pintar Ez ADU atau mana-mana lapan pejabat KPDN di seluruh Johor,” katanya. — Sinar Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button