Berita

Lim Kit Siang minta Takiyuddin minta maaf

Tindakan itu susulan kenyataan yang dikeluarkan Takiyuddin baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 20 Dis. – Tan Sri Lim Kit Siang menuntut permohonan maaf daripada Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan atas kenyataan yang dikeluarkan terhadapnya baru-baru ini.

Kit Siang berkata, Takiyuddin harus memohon maaf dan menarik balik kenyataannya mengenai peruntukan Perlembagaan bahawa mana-mana rakyat Malaysia boleh menjadi Perdana Menteri sebagai ‘propaganda beracun’.

“Beliau harus dirujuk kepada Jawatankuasa Keistimewaan Parlimen sama ada beliau telah melanggar sumpah sebagai Ahli Parlimen untuk ‘memelihara, melindungi , dan mempertahankan Perlembagaan,” kata veteran DAP itu dalam satu kenyataan Rabu.

Menurutnya, Takiyuddin ‘menambah minyak ke api’ apabila beliau menyifatkan cadangan Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai untuk memulihkan pilihan raya kerajaan tempatan sebagai “naratif toksik”.

“Daripada meminta Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk ‘mengawal dan menghentikan naratif toksik DAP’, adakah Takiyuddin akan cuba menjadikan PAS lebih sederhana dan kurang ekstremis?,” soal Lim.

Beliau turut bertanya sama ada PAS akan menjadi parti Islam yang sederhana selaras dengan Perlembagaan Malaysia dan Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum, agama dan budaya.

Terdahulu, Takiyuddin pada 19 Disember lalu berkata, Anwar harus membendung “propaganda beracun” yang dijaja oleh DAP. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button