Berita

Lima hari ditidurkan, Hamdan Senario meninggal dunia

Hamdan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

KUALA LUMPUR 5 Jan. – Pelawak Ahmad Hamdan Mohamed Ramli atau lebih dikenali sebagai Hamdan Senario menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, kira-kira jam 12.50 tengah hari tadi.

Berita duka itu disahkan anak bongsu Hamdan, Nur Natasya Umairah.

Allahyarham meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah dan komplikasi jantung serta buah pinggang.

Jenazah akan dimandikan di hospital seterusnya akan dibawa pulang ke rumah beliau di Ipoh, Perak dan dijangka tiba di rumah sekitar jam 8.30 malam.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan empat orang anak.

Hamdan dilahirkan di Batu Gajah memenangi program realiti Sinaran Pasport Kegemilangan pada tahun 1995 bersama Ilya serta Wahid dan kemudiannya membentuk kumpulan Senario pada tahun 1996 bersama Shamsul Ghau Ghau, Azlee, Mazlan, Ilya, Wahid dan Farouk Hussain.

Hamdan pernah membintangi beberapa buah filem antaranya Aku Kaya The Movie (2003), Tipah Tertipu The Movie, Senario Dalam Pemburu Emas Yamashita, Kemarau Cinta, Salah Bapak (2006), Zombi Kampung Pisang (2007), Senario The Movie: Episode 1 (2008) dan yang terbaru pada tahun 2022, Jaga-Jaga Senariounion dan Abang Long Fadil 3.

Terdahulu, Hamdan, 54, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan ditidurkan akibat jangkitan kuman dalam darah. — Sinar Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button