Berita

Lima syarikat didenda RM415 juta sepakat naikkan harga makanan ayam

Syarikat tersebut didakwa bersetuju menaikkan harga makanan ayam, membawa kesan kepada harga ayam

KUALA LUMPUR 22 Dis – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengenakan denda berjumlah RM415 juta terhadap lima syarikat kerana membentuk “kartel makanan ayam” untuk menetapkan harga.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC Iskandar Ismail, berkata firma tersebut didakwa bersetuju menaikkan harga makanan ayam, membawa kesan kepada harga ayam.

Siasatan mendapati firma berkenaan melanggar larangan akta kerana membuat perjanjian, menyekat atau mengganggu persaingan secara signifikan.

Denda terbesar  dikenakan terhadap Leong Hup Feedmill Malaysia Sdn Bhd (RM157 juta) diikuti Gold Coin Feedmills (Malaysia) Sdn Bhd (RM97.5 juta).

Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd (RM70 juta), PK Agro-Industrial Products (M) Sdn Bhd (RM47.8 juta) dan FFM Bhd (RM42.6 juta).

“Kami telah mengeluarkan keputusan akhir kepada lima syarikat itu kerana melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 kerana membentuk kartel harga bagi makanan ayam.

“Kartel adalah kejahatan tertinggi di dalam undang-undang persaingan dan satu bentuk sabotaj ekonomi di peringkat tertinggi, terutamanya di dalam kes berkepentingan awam,” katanya pada sidang media.

Iskandar berkata jumlah itu denda terbesar dikeluarkannya setakat ini dan syarikat terbabit mungkin merayu dengan Tribunal Rayuan Persaingan.

Menurutnya, makanan ayam mewakili 72.8% daripada jumlah kos pengeluaran ayam berbanding faktor lain, seperti anak ayam (21%), tenaga kerja (2.6%), pengangkutan (1.7%), vaksin/ vitamin (1.0%), dan utiliti seperti air serta elektrik (0.9%).

“Berdasarkan siasatan kami, ada 29 syarikat kilang makanan dengan lima daripada syarikat ini menguasai 40% pasaran,” katanya.

Beliau berkata syarikat itu akan menaikkan harga makanan ayam sebanyak RM1 kepada RM2 setiap 50kg, sama ada serentak atau dalam tempoh seminggu.

Pada 24 Okt lepas, bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob Ismail meminta kerajaan menjelaskan hasil tindakan MyCC terhadap syarikat yang dituduh membentuk ‘kartel makanan ayam’ untuk menetapkan harga. – FMT

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button