LTAT umum pelantikan Ketua Pegawai Pelaburan baharu
Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dengan sukacitanya mengumumkan pelantikan Ahmad Farouk Mohamed sebagai Ketua Pegawai Pelaburan yang baharu, berkuat kuasa hari ini. Beliau membawa bersama lebih daripada dua dekad pengalaman dan kepakaran dalam pelaburan dan kewangan, serta pengurusan dan transformasi strategik demi memperkukuh portfolio pelaburan LTAT.
Ahmad Farouk telah berkhidmat sebagai Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pejabat Pengarah Urusan Kumpulan di Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) sebelum ini. Sepanjang tempoh tersebut, beliau memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju strategik bagi kumpulan itu, memacu transformasi utama, serta mengetuai rundingan untuk penggabungan dan pengambilalihan (M&A), di samping mengawasi pembangunan infrastruktur digital MIDF.
Beliau juga mempunyai pengalaman luas di Khazanah Nasional Berhad, di mana beliau berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif dalam unit Pelaburan dan dan juga unit Pengurusan Strategik. Semasa di Khazanah, beliau mengetuai unit sektor yang bertumpu kepada pelaburan tenaga, tenaga boleh diperbaharui dan kewangan Islam, serta pengurusan transaksi korporat di pasaran modal awam dan ekuiti persendirian. Beliau juga memainkan peranan yang penting dalam merangka dan melaksanakan pelan strategik tahunan Khazanah.
Ketua Eksekutif LTAT, En. Ashraf Radzi, menyatakan “Kami berbesar hati mengalu-alukan Ahmad Farouk sebagai Ketua Pegawai Pelaburan baharu LTAT. Pengalaman dan rekod pencapaian cemerlang beliau dalam sektor pelaburan akan menyumbang terhadap usaha LTAT yang berterusan dalam memperkukuh strategi pelaburan kami, menuju ke arah pertumbuhan yang mampan, dan memastikan pulangan yang optimum kepada para pencarum kami. Kepimpinan beliau akan menjadi pemacu penting dalam meningkatkan daya tahan dana ini dalam landskap ekonomi yang dinamik.”
Ashraf turut menekankan kepentingan strategik pelantikan ini “Kecekapan Ahmad Farouk dalam penstrukturan semula aset dan pelaburan strategik selaras dengan visi jangka panjang kami untuk mengubah LTAT menjadi Dana Providen Mampan. Sumbangan beliau akan menyokong misi kami dalam menyampaikan nilai jangka panjang sambil meningkatkan kesejahteraan kewangan anggota Angkatan Tentera Malaysia (”ATM”). Kami yakin kepimpinan Ahmad Farouk akan membantu LTAT menyahut cabaran landskap pelaburan dengan berkesan, memacu inovasi dan kecemerlangan dalam pengurusan portfolio kami.”
Ahmad Farouk memiliki Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dan Ijazah Sarjana Sastera (Kepujian) dalam bidang Matematik daripada Trinity College, Universiti Cambridge. Asas akademik beliau yang kukuh dilengkapi dengan diploma pascasiswazah dalam Sains Aktuari dan Pengurusan Aktuari daripada City University, London, selain Sijil dalam Kewangan dan Pelaburan, serta Diploma dalam Teknik Aktuari daripada Institute of Actuaries, London.
Dengan kepakaran dan kepimpinan yang pelbagai, LTAT yakin bahawa Ahmad Farouk akan menjadi pendorong utama dalam memajukan objektif strategik LTAT dan memastikan kejayaan berterusan dalam usaha pelaburannya.