Berita
Lubang benam sedalam satu meter dikesan di Kompleks Bunga Raya KLIA
Jabatan Kerja Raya (JKR) Sepang dalam satu kenyataan memaklumkan jalan di sekitar lubang tersebut masih boleh digunakan namun lokasi yang benar-benar hampir sudah ditutup.
Menurutnya, anggaran kedalaman lubang tersebut adalah satu meter dengan lebar 5.4 meter dan panjang lebih empat meter.
Tambah kenyataan itu lagi, pemeriksaan di tapak mendapati terdapat satu lurang kumbahan milik KLIA yang berada berhampiran kawasan lubang benam.
Pihak JKR turut mengesyaki kebocoran paip di lurang kumbahan menjadi punca terbentuknya lubang benam tersebut.
“JKR telah melakukan beberapa tindakan seperti melaporkan kejadian kepada Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
“JKR juga melakukan pemantauan dan pemeriksaan di tapak serta pemasangan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) oleh pihak MAHB.
“Laporan terperinci akan dikeluarkan oleh pihak MAHB setelah selesai siasatan dibuat dan pihak JKR & Roadcare akan memberikan bantuan sekiranya diperlukan oleh pihak MAHB,” menurut kenyataan tersebut.
Punca kejadian masih dalam siasatan.