Berita

Mahkamah Kuala Terengganu gempar terima ancaman bom

Pihak polis juga telah melakukan pemeriksaan dan pembersihan di kompleks mahkamah tersebut

KUALA TERENGGANU 18 Jan –  Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu terpaksa dikosongkan selepas menerima ancaman bom pada pagi Khamis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintenden Wan Mohd Zaki Wan Ismail berkata, pihak polis menerima panggilan jam 7.20 pagi memaklumkan mengenai penemuan bungkusan mencurigakan di hadapan pintu pagar kompleks mahkamah berkenaan.

Menurutnya, sebaik menerima laporan itu sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu dan Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Terengganu bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi itu terdapat bungkusan yang diletakkan di hadapan pintu pagar. Kita telah memeriksa bungkusan tersebut dan telah dimusnahkan.

“Pihak polis juga telah melakukan pemeriksaan dan pembersihan di kompleks mahkamah tersebut. Tiada sebarang ancaman lain ditemukan di kawasan itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, pada Khamis.

Wan Mohd Zaki bagaimanapun tidak memperincikan kandungan bungkusan terbabit.

Hasil tinjauan di lokasi kejadian mendapati sebahagian kawasan Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu masih lagi ditutup sehingga jam 12.45 tengah hari.

Pada pagi Khamis, petugas mahkamah digemparkan dengan penemuan bungkusan mencurigakan di hadapan pintu masuk mahkamah berkenaan sebelum sebahagian Kompleks Mahkamah itu diarahkan untuk dikosongkan. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button