
Mahkamah Tinggi di sini, atas permohonan kerajaan, telah menghalang dua individu yang dikaitkan dengan Najib Razak daripada mengakses akaun bank dan saham mereka yang disimpan di luar negara.
Dalam permohonan yang difailkan pada Rabu, kerajaan mendakwa bahawa sejumlah AS$4.5 juta yang disimpan oleh seorang individu dikenali sebagai “Prince Faisal Turki Al Saud” di Riyad Bank, Arab Saudi, mempunyai kaitan dengan 1MDB.
“Prince Faisal” dikatakan telah memindahkan RM60 juta kepada Najib pada tahun 2011.
Sementara itu, dalam permohonan berasingan, kerajaan telah memohon untuk menghalang bekas penasihat media Najib, Paul Stadlen, daripada mengakses 12 juta saham yang dipegang dengan sebuah firma pengurusan aset di United Kingdom.
Kerajaan mendakwa bahawa Stadlen telah membeli saham tersebut — bernilai kira-kira AS$100 juta — menggunakan dana yang diseleweng daripada projek mega seperti Laluan Rel Pantai Timur (East Coast Rail Link), Multi-Product Pipeline, dan Trans-Sabah Gas Pipeline.
Perintah sekatan itu diberikan oleh Hakim K Muniandy semasa pengurusan kes hari ini.
Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat mewakili kerajaan.
Beliau kemudian memberitahu wartawan bahawa Peguam Negara akan menggunakan Akta Bantuan Bersama dalam Perkara Jenayah 2002 untuk menyampaikan perintah mahkamah ini kepada rakan sejawatnya di Arab Saudi dan United Kingdom.