Mahkamah mula dengar permohonan semakan hukuman mati
Ini merupakan semakan pertama sejak penguatkuasaan Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 pada 12 September lalu
KUALA LUMPUR 14 Nov – Mahkamah Persekutuan hari ini memulakan semakan hukuman mati terhadap tujuh banduan yang telah dijatuhkan hukuman mati mandatori sebelum ini.
Ini merupakan semakan pertama sejak penguatkuasaan Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 pada 12 September lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata kesemua tujuh banduan itu dijatuhkan hukuman mati selepas disabit bersalah mengedar dadah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Penggunaan seksyen itu sering mengundang kritikan kerana ia biasanya dikenakan terhadap pengedar dadah di peringkat bawah, bukannya penjenayah yang lebih besar.
“Hari ini merupakan hari bersejarah bagi negara kita kerana permohonan bagi semakan hukuman mati dan pemenjaraan sepanjang Hayat telah didengar di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. Hal ini membuktikan prinsip restorative justice dalam sistem keadilan jenayah di Malaysia adalah sentiasa terpelihara.
“Kejayaan ini turut mencerminkan komitmen kerajaan dalam mempromosi dan mempertahankan hak asasi manusia sejagat,” kata Azalina dalam kenyataan hari ini.
Azalina menegaskan hukuman mati masih ada di Malaysia namun ia tidak lagi dikenakan secara mandatori, sebaliknya atas budi bicara mahkamah.
Dia berkata ada 1,020 banduan yang dihukum mati an penjara sepanjang hayat sebelum ini yang layak membuat permohonan untuk semakan hukuman.
Setakat 9 November lalu, Mahkamah Persekutuan telah menerima 861 permohonan daripada banduan hukuman mati dan117 permohonan daripada banduan penjara sepanjang hayat.
“Pelaksanaan bagi pengendalian prosiding mahkamah ini telah mengambil kira pelbagai faktor mengikut keutamaan termasuklah umur banduan, tahap kesihatan dan tempoh pemenjaraan banduan serta pertimbangan lain yang mendesak,” katanya lagi.
Dia berkata perkembangan terbaru ini selari dengan komitmen kerajaan untuk memastikan banduan diberi peluang kedua untuk kembali kepada masyarakat dan keluarga.
Dewan Rakyat meluluskan pemansuhan hukuman mati mandatori pada April lalu. – Xklusif