Berita

Mahkamah Syariah khusus untuk orang Islam – Asyraf Wajdi

Asyraf Wajdi menyelar cadangan yang mahu bukan Islam dilantik menggubal undang-undang Islam.

KUALA LUMPUR 29 Dis – Cadangan untuk melantik pakar bukan Islam dalam Jawatankuasa Mengkaji Bidang Kuasa Mahkamah Syariah untuk menggubal undang-undang Islam hanya akan mencetuskan polemik.

Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham itu hanya akan mencemarkan keharmonian rakyat pelbagai agama dan kaum selama ini.

“Mahkamah Syariah dikhususkan kepada rakyat beragama Islam, malah proses menambah baik dan menaik taraf dilakukan sejak UMNO menerajui kerajaan dan sentiasa dibuat secara bertahap serta mengambil kira ruang lingkup kuasa yang dibenarkan Perlembagaan Persekutuan.

“Sepanjang proses menaik taraf Mahkamah Syariah baik dari segi pentadbiran, kompetensi, emolumen, penggajian hakim, pegawai, bentuk dan tahap hukuman yang diperuntukkan di bawah kuasa Mahkamah Syariah.

“Tidak pernah sesekali mengambil atau mencabuli hak warga bukan Islam,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Khamis.

Sebelum ini, Koo Ham yang juga Pengerusi DAP Perak berkata, cadangan tersebut dikemukakan sebagai mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan undang-undang dilakukan.

Beliau juga mengingatkan Perlembagaan dibentuk akan mengambil kira kepentingan semua golongan, maka sebarang perubahan yang memberi kesan kepada kaum dan agama mesti dibincangkan secara menyeluruh untuk mengelakkan konflik.

Sementara itu, Asyraf Wajdi menjelaskan bahawa perundangan di bawah Mahkamah Syariah sejajar dengan peruntukan 3 Perlembagaan Persekutuan, kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu sebagai pemelihara serta pelindung kepada kesucian agama Islam sebagai agama Persekutuan termasuk mengiktiraf kebebasan agama lain untuk diamalkan dalam negara.

“Justeru, berikanlah kepercayaan dan keyakinan kepada Majlis Raja-Raja Melayu dalam menentukan panel-panel yang bakal mengganggotai jawatankuasa ini kelak.

“Tentunya Raja-Raja Melayu amat bijaksana dan pasti mengambil kira segala aspek termasuk bidang kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan dalam mengabsahkan terma-terma rujukan Jawatankuasa ini.

“Apa jua dapatan jawatankuasa ini kelak pastinya akan dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu setelah diteliti segala aspek yang terkait dengan Perlembagaan,” jelas beliau.

Tambahnya, ahli Parlimen bukan Islam tetap mempunyai kuasa untuk membahas, menyokong, meminda dan menolak cadangan sekiranya berkait dengan penggubalan undang-undang serta Perlembagaan. — Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button