Berita

Mahkamah tangguh 2 kes saman fitnah Tun M, Ahmad Zahid

Perbicaraan kes saman fitnah difailkan Dr Mahathir terhadap Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu kerana didakwa mempersoalkan asal usul bekas Perdana Menteri berkenaan, yang sepatutnya bermula 11 September lalu ditangguhkan ke 13 Februari tahun depan

KUALA LUMPUR 3 Nov – Perbicaraan dua kes saman fitnah membabitkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ditangguhkan.

Perbicaraan kes saman fitnah difailkan Dr Mahathir terhadap Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu kerana didakwa mempersoalkan asal usul bekas Perdana Menteri berkenaan, yang sepatutnya bermula 11 September lalu ditangguhkan ke 13 Februari tahun depan.

Bagi perbicaraan kes saman difailkan Ahmad Zahid terhadap Dr Mahathir berhubung dakwaan menggunakan kedudukan bagi mempengaruhi bekas Perdana Menteri itu untuk mencampuri urusan perbicaraan kes jenayahnya, yang sepatutnya bermula Isnin depan pula ditangguhkan ke satu tarikh belum ditetapkan lagi.

Peguam bela Dr Mahathir, Mior Nor Haidir Suhaimi, ketika dihubungi mengesahkan perkembangan baharu dua kes saman terbabit.

“Kedua-dua kes saman itu ditangguhkan. Bagi kes saman fitnah difailkan Ahmad Zahid terhadap anak guam, mungkin Isnin depan akan tetapkan tarikh bicara yang baharu.

“Kes saman Dr Mahathir terhadap Ahmad Zahid pula ditangguhkan ke 13 hingga 16 Februari tahun depan,” katanya.

Ahmad Zahid, 69, memfailkan saman terhadap Dr Mahathir, 96, pada 20 April tahun lalu dengan mendakwa bekas Perdana Menteri itu memfitnahnya pada Majlis Pelancaran Aspirasi Parti PEJUANG sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15, di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, pada 23 Februari 2022.

Ahmad Zahid mendakwa Dr Mahathir memfitnah bahawa beliau pernah hadir ke rumahnya bersama beberapa individu lain bagi mendapatkan bantuan menyelesaikan kes mahkamah dihadapi Presiden UMNO itu.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mendakwa kenyataan fitnah berkenaan antaranya membawa maksud bahawa beliau seorang yang menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan ketika itu.

Ahmad Zahid mendakwa, ia juga bermaksud beliau menggunakan kedudukannya untuk mempengaruhi Dr Mahathir mencampuri urusan perbicaraan jenayah dan mencampuri siasatan yang dijalankan agensi penguatkuasaan terhadapnya.

Dr Mahathir melalui saman difailkannya pula mendakwa bahawa Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan palsu, berbaur fitnah dan berniat jahat dengan sengaja merujuk terus kepadanya ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, beliau percaya dengan sesungguhnya bahawa individu dirujuk defendan dalam kenyataan fitnah didakwa berkenaan sebagai ‘orang itu’, ‘dia’ dan ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’, jelas merujuk kepadanya secara spesifik.

Beliau mendakwa, Ahmad Zahid yang berniat jahat dengan mengeluarkan kenyataan fitnah, mendedahkannya kepada rasa tidak puas hati dan dibenci oleh masyarakat.

Susulan itu, Dr Mahathir mendakwa bahawa kedudukannya sebagai seorang negarawan dan tokoh politik yang berpengaruh di mata dunia, dipandang serong. РBerita Harian 

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button